PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 1,453 surat amaran bertulis dikeluarkan dengan 3,879 individu diberi nasihat sejak hari pertama penguatkuasaan larangan merokok di premis makan yang dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2019.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya berkata, seramai 611 anggota penguatkuasa KKM telah melawat 2,786 premis makan termasuk yang beroperasi 24 jam dalam tempoh sehingga 12 tengah hari, Rabu (2 Januari ).

Kredit : Utusan Borneo Online

Menurut Dr Dzulkefly, sehingga tengah hari 2 Januari, pihaknya telah mengedarkan 7,451 risalah dan KKM menerima 28 panggilan telefon berkaitan isu larangan merokok di premis makan.

Katanya, “Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pasti akan meneruskan penguatkuasaan ini khususnya untuk tempoh enam bulan pertama, yang diistilahkan sebagai penguatkuasaan pendidikan secara menyeluruh bagi memastikan masyarakat benar-benar sedia maklum dan memahami larangan ini.”

Dr Dzulkefly juga menegaskan bahawa tiada kompaun atau denda akan dikeluarkan selaras dengan pendekatan mendidik selama dalam tempoh enam bulan, dan kesemua anggota penguatkuasa KKM telah diingatkan berkenaan perkara itu. Hanya amaran bertulis sahaja yang dibenarkan.

Kredit : The Star

Larangan merokok di premis makan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 telah dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2019. Selepas tamat tempoh penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan, mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Dr Dzulkefly berkata majoriti mereka yang diberi surat amaran bertulis dan nasihat menerimanya dengan baik, dengan sebahagian besar mendakwa tidak menyedari larangan merokok di premis makan telah dikuatkuasakan.

Dr Dzulkefly juga memaklumkan yang beliau berpuas hati dengan sokongan dan maklum balas positif yang ditunjukkan masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan terhadap peraturan larangan merokok yang dikuatkuasakan, dengan tujuan baik bagi memastikan semua premis makan di negara ini bebas asap rokok.

Kredit : Astro Awani / Gambar Hiasan

Kata Dr Dzulkefly, “Perokok bukan tidak dibenarkan merokok sama sekali, cuma mereka dilarang menyebarkan asap rokok kepada orang lain. Jadi mereka perlu merokok jauh daripada orang ramai.”

Sambil menambah, beliau gembira melihat gambar-gambar di platform media sosial, yang menunjukkan para perokok menjauhkan diri pada jarak 3 meter dari premis makan untuk merokok.

Sumber : Bernama, The Star

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds