Crabtree & Evelyn, sebuah syarikat antarabangsa yang sinonim dengan jenama penjagaan kulit, minyak wangi, produk mandian dan biskut dengan dekorasi dalam bekas tin yang cantik dan mewah, akan menutup semua premis perniagaan dan operasi di Kanada apabila syarikat tersebut sedang dalam proses penyelesaian inventori dan hutang.

Crabtree & Evelyn mempunyai 19 premis kedai dengan menggaji 123 pekerja secara sepenuh dan separuh masa di Kanada.

Yahoo Finance melaporkan, peruncit tersebut telah memfailkan perlindungan kebankrapan di mahkamah Quebec di bawah Akta Kebankrapan dan Insolvensi Kanada.

Kredit : Testotter

Salah satu alasan mengapa syarikat jenama kecantikan ini bakal menutup perniagaan ialah perniagaan mereka tidak lagi dapat bersaing dengan trend dan tabiat pengguna terkini yang lebih cenderung dan gemar untuk membeli-belah secara atas talian, yang mana memberi lebih banyak pilihan dan menjimatkan. Nasib dan alasan yang sama dialami seperti beberapa syarikat lain yang telah menutup perniagaan.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh ‘Deloitte’s 2017 Holiday Survey’ menunjukkan perniagaan e-commerce melalui internet akan menjadi destinasi pilihan bagi para pengguna dengan mengawal pasaran perniagaan sebanyak 55 peratus , manakala perdagangan massa hanya memegang 44 peratus.

Kredit : Crabtree & Evelyn UK / Twitter

Sementara itu, pihak pengurusan Crabtree dan Evelyn masih belum memutuskan nasib yang akan berlaku di semua cawangan mereka di luar negara. Perniagaan Crabtree & Evelyn di Malaysia dilihat terus mencatat jualan dan keuntungan yang memberangsangkan, dengan sambutan yang amat baik daripada para pengguna.

Crabtree & Evelyn ditubuhkan pada tahun 1968 yang diasaskan oleh Cyrus Harvey dan Peter Windett dengan nama asal The Soap Box, yang mula-mula beroperasi dengan sebuah kedai kecil di Philadelphia, Pennylvania di Amerika Syarikat.

Kredit : Crabtree & Evelyn UK / Twitter

Menurut Wikipedia, nama Crabtree atau simbol Epal Liar, berasal dari Britain dan merupakan akar asal atau moyang bagi semua pokok epal yang ditanam. Tumbuhan ‘Crabtree’ sering dipuji kerana kecantikannya, dan sering digunakan sebagai remedi perubatan di rumah.

Satu fakta yang menarik, jenama Crabtree & Evelyn pernah diambil alih dan dimiliki oleh Syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad dari Malaysia bermula tahun 1996 hingga 2009.

Kredit : Setia City Mall

Dengan menjadi mangsa terbaru kemaraan perniagaan membeli-belah secara atas talian yang amat pesat membangun, dunia akan melepaskan tangan dan membiarkan Crabtree dan Evelyn terus berlalu pergi.

Sumber : World of Buzz

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds