Pada awalnya, peladang ini digelar ‘gila’ kerana berhajat untuk menawarkan bekalan elektrik dalam kadar rendah kepada 600 buah rumah di perkampungannya. Namun kini, beliau disanjung malah sebuah syarikat elektrik negara berminat untuk membeli teknologi operasi berkuasa hidro yang beliau cipta sendiri!

Dalam usahanya untuk memberikan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk kampung, Rasid hampir dua kali menemui ajalnya.

Insiden yang pertama berlaku di kincir air yang beliau bina dengan hasil usaha sendiri. Kemalangan berlaku apabila beliau tersekat pada roda yang menyebabkannya terlantar selama empat bulan selain patah tulang lengan dan mengalami keretakan tulang rusuk.

“Saya juga tidak boleh makan,” kata Rasid ketika mengimbas kembali detik itu.

Kemalangan yang kedua pula berlaku di loji janakuasa hidro mikro yang beliau cipta. Rasid dikatakan terkena renjatan elektrik lantas tidak sedarkan diri di atas sistem pulley yang sedang berputar laju. Akibatnya, paha beliau terluka. Ketika ditemui, Rasid dilaporkan terbaring di dalam darah yang banyak dan mengalami kesukaran untuk bernafas.

Peringatan di atas segala usaha Rasid

Meskipun berhadapan dengan pengalaman penuh trauma, Rasid kekal tabah dan tidak mahu menyerah kalah.

“Ini adalah satu perjuangan. Pasti akan ada cabaran dalam setiap perjuangan. Ianya bukan satu masalah,”ujar Rasid yang menggelarkan dirinya sebagai ‘pahlawan tenaga’.

Sistem pulley dan tali sawat

Berkat usaha peladang yang berusia 48 tahun inilah yang membuatkan seluruh penduduk kampung kini mempunyai bekalan tenaga elektrik di rumah sekali gus membolehkan setiap rumah mempunyai lampu dan menonton televisyen.

Kedai runcit di kampung kini boleh beroperasi pada waktu malam

Sejak tahun 1994, rumah penduduk kampung mulai menerima bekalan elektrik berkat loji janakuasa dan kincir air yang dibina oleh Rasid seorang diri. Dahulu, beliau pernah dianggap gila oleh jiran tetangga dan tiada siapa yang sudi membantu memandangkan penduduk kampung tidak yakin seorang peladang mampu menjana elektrik.

“Saya sangka ianya mustahil. Bagaimana air boleh mengubah kayu dan mencipta tenaga?” kata Ustaz Saiful Ilham, seorang rakan kepada Rasid yang juga guru agama.

Ustaz Ilham (kiri) bersama Rasid

Rasid dilahirkan di Audungbiru, sebuah perkampungan kecil yang terletak di lereng Gunung Argopuro. Semasa membesar, Rasid adalah seorang yang sangat gemar membaca buku dan pergi ke sekolah. Namun, apabila tiba waktu malam, Rasid mengalami kesukaran untuk menyiapkan kerja sekolah dan membaca Al-Quran disebabkan oleh ketiadaan bekalan elektrik.

Sungai di lereng Gunung Argopuro

“Kami menggunakan lampu minyak tanah dan ia membuatkan mata saya cepat letih. Itu adalah perkara yang paling mengecewakan. Apabila angin bertiup kuat, kami tidak boleh belajar lagi. Kemudian kami perlu menyiapkan kerja sekolah keesokan paginya pada waktu subuh sebelum pergi ke sekolah”.

Lampu minyak tanah lama

Setelah tamat sekolah rendah, Rasid berhijrah ke Probolinggo untuk bekerja demi membolehkan dia menampung pembiayaan untuk ke sekolah vokasional. Di situ, Rasid belajar asas-asas kejuruteraan mekanikal dengan harapan dia boleh membuka sebuah bengkel basikal setelah menamatkan pelajarannya.

“Saya sentiasa membantu kawan-kawan membaiki basikal mereka. Ia adalah satu ilmu yang berguna”.

Rasid sentiasa mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi untuk membaiki sesuatu

Bagaimanapun pada usia 19 tahun, Rasid mengalami pelbagai masalah dan menyebabkan beliau terpaksa berhenti bekerja. Bukan sahaja itu, Rasid juga terpaksa meninggalkan sekolah tanpa sempat menamatkan pelajarannya.

Rasid pulang ke kampung halaman dan menjadi peladang seperti ibu bapanya. Beliau membantu menanam kopi, jagung, pisang, halia dan juga cili dan memperoleh pendapatan sekitar RM1,450 sebulan.

Kebanyakan penduduk kampung Andungbiru bekerja di ladang

Pada suatu hari, Rasid mendapat sumber inspirasi setelah melihat sebuah kincir air di Jember yang dibina semasa era pemerintahan Belanda. Rasid memerhatikan reka bentuk kincir air tersebut lalu bercadang untuk membinanya di ladang.

Bagi mendapatkan dana untuk memulakan projek berkenaan, Rasid mengambil keputusan dengan menjual dua ekor lembu ternakannya. Duit hasil jualan lembu itu digunakan untuk membeli kayu bagi membina kincir air tersebut.

Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1994, kincir air tersebut akhirnya berfungsi setelah tiga kali menemui kegagalan. Itulah kali pertama seluruh kampung termasuk masjid, klinik dan juga sekolah menerima bekalan elektrik percuma.

Kincir air Rasid yang dibina pada tahun 1994 masih lagi berfungsi sehingga ke hari ini

Rasid turut menawarkan kadar bil elektrik pada harga yang sangat rendah. Bagi rumah berkeluarga, caj yang dikenakan hanyalah sebanyak RM2 sebulan. Bagi yang tidak berkemampuan, mereka boleh membayar dengan buah-buahan, ayam, telur atau kopi, asalnya ianya mempunyai nilai.

“Jika ada yang sangat-sangat tidak mampu, elektrik diberikan secara percuma. Kenapa? Kerana saya masih ingat ketika saya miskin, untuk membeli beras pun saya tidak mampu. Saya tidak mahu membebankan penduduk, Saya mahu menggembirakan mereka”.

Masjid ini menerima bekalan elektrik secara percuma daripada Rasid

Pada tahun 1999, Rasid mula belajar tentang tenaga mikrohidro dan terpaksa menjual trak keluarganya untuk membiayai mesin berkenaan.

Berbeza dengan projeknya terdahulu, kali ini Rasid mendapat bantuan daripada penduduk kampung untuk menyiapkan projek besar ini. Untuk membina enjin turbin berkuasa baharu itu, Rasid perlu mengalirkan air sungai ke hulu dan membina laluan paip untuk menyalirkan semula air itu ke sungai serta mengairi tanaman padi.

Rasid membina saluran paip untuk loji janakuasa mikrohidro

Dalam masa beberapa bulan sahaja, projek bernilai lebih RM206,000 ini akhirnya siap!

Bagaimanapun, ketika projek tersebut sedang dibina, syarikat Perusahaan Listrik Negara (PLN) milik kerajaan Indonesia mula mengumumkan rancangannya untuk membekalkan tenaga elektrik ke kawasan Andungbiru.

Projek terbesar yang pernah dibina oleh Rasid dan penduduk kampung

Sekali lagi, penduduk kampung mempertikaikan tindakan Rasid dan mula beralih arah dengan menggunakan perkhidmatan yang disediakan PLN. Namun, mereka telah dikenakan caj sebanyak RM124 sebulan iaitu jumlah yang tinggi sebanyak enam kali ganda berbanding caj yang dikenakan Rasid.

“Kadangkala bekalan elektrik terputus. Tenaga yang dibekalkan tidak cukup kuat sedangkan mereka perlu membayar lebih mahal. Akhirnya, mereka beralih semula kepada Rasid,”kata Kusnadi, abang Rasid.

Pada hari ini, stesen jana kuasa milik Rasid telah membekalkan tenaga kepada 600 isi rumah di empat buah kampung!

Rasid kini memiliki dua sistem janakuasa mikro hidro

Malah, pihak PLN turut bercadang untuk membeli teknologi operasi beliau dan membayarnya sehingga RM16,500 sebulan. Akan tetapi, Rasid menolak tawaran berkenaan.

Rasid mahu kanak-kanak di kampung mempunyai masa depan yang cerah

“Saya boleh mendapat gaji yang besar tetapi saya tidak mahu. Otak saya sentiasa bekerja dan mendapat idea. Jika saya terima tawaran itu, saya akan menjadi bodoh kerana tidak perlu berfikir lagi”.

Selain membekalkan tenaga elektrik, Rasid juga bercadang untuk memberikan kemudahan jaringan perhubungan telefon supaya penduduk boleh menggunakan internet.

Seorang individu yang sangat bercita-cita tinggi! Semoga Rasid sentiasa dilimpahkan dengan rezeki yang banyak kerana gemar membantu orang ramai.

Lihat video di bawah mengenai kisah beliau:

Kredit: CNA Inside | YouTube

Sumber: Channel News Asia

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds