Baru-baru ini, tular kisah mengenai seorang lelaki yang makan dengan begitu banyak sehingga boleh menghabiskan seperiuk mi seorang diri! Habis licin dimakannya dan kisah benar di sebalik peristiwa ini membuatkan netizen meluahkan rasa sedih terhadap lelaki berkenaan.

Malah, lelaki ini turut meraih populariti sehingga mula digelar ‘Abang Mi Sup’.

Sebenarnya, lelaki yang mempunyai selera tinggi itu adalah seorang anggota bomba yang bekerja di Zhejiang, China. Dikenali sebagai Pu Wenming, lelaki ini mula menyertai jabatan bomba pada tahun 2011.

Sebaik sahaja gambar Pu menikmati mi segera itu menular, ada segelintir netizen yang mempersendakan Pu serta mentertawakannya tanpa mengetahui mengapa Pu boleh makan sebegitu banyak mi segera.

Rupa-rupanya sebelum kejadian itu, Pu dan beberapa lagi anggota bomba lain telah bekerja selama dua hari dua malam tanpa henti. Pada 22 Julai, pasukan anggota bomba ini telah melakukan beberapa misi penyelamatan serta misi memadam kebakaran. Keesokan harinya, Pu telah menjalankan misi penyelamatan sebanyak lapan kali.

Kemudian sekitar jam 11 malam hari kedua, jabatan bomba sekali lagi menerima panggilan kecemasan tentang berlakunya satu kebakaran di sebuah rumah. Mereka segera menjalankan tugas dan memadamkan api sehingga jam 2.30 pagi sebelum kembali ke balai bomba.

Justeru, setelah menyelesaikan tugas dan mengemas alat kelengkapan, pihak kafeteria telah menyediakan hidangan mi segera buat para penyelamat itu…

Pu merupakan seorang pemandu trak bomba. Justeru, sebaik sahaja kembali ke balai, dia perlu segera membersihkan trak dan menyimpan semua peralatan yang telah digunakan. Hal ini akan memudahkan mereka untuk keluar menjalankan misi lain pada bila-bila masa sekiranya dipanggil.

Setelah selesai makan, Pu melihat masih terdapat lambakan mi segera yang tidak dihabiskan di dalam periuk lantas mengambil keputusan untuk menyambung makan.

Salah seorang anggota bomba iaitu Xiao Yan telah melihat kejadian itu dan segera mengambil gambar Pu yang sedang leka menikmati lebihan mi segera berkenaan. Gambar berkenaan kemudiannya menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Ada yang bertanya bagaimana anggota bomba boleh mengekalkan bentuk badan yang ideal meskipun makan dengan begitu banyak?

“Ia disebabkan oleh latihan dan beban kerja yang tinggi. Setiap hari kami menjalani latihan kemahiran dan kekuatan fizikal yang intensif. Jika berlaku kebakaran, kami perlu memakai pakaian yang seberat lebih 30kg. Jika ianya melibatkan misi penyelamatan, kami perlu memakai pakaian keselamatan berwarna jingga yang sedikit ringan tetapi pada hari yang panas, ia boleh menyebabkan peluh yang banyak.”

Meskipun bertugas sebagai pemandu, Pu menyatakan bahawa dia perlu mencari sumber air berdekatan dan menyambung hos. Setelah itu, dia turut bersama-sama anggota penyelamat lain untuk memadam kebakaran.

Rakannya pernah memberitahu bahawa Pu boleh menghabiskan lapan mangkuk nasi dan 15 periuk mi segera pada satu masa. Namun Pu menafikan kenyataan itu dan menyatakan ianya telah diperbesarkan. Bagaimanapun, Pu mengakui bahawa selera makannya memang tinggi.

Begitulah beratnya tanggungjawab yang perlu dipikul oleh anggota bomba. Jangan sesekali memandang remeh akan tugas mereka kerana kita tidak tahu cabaran yang perlu mereka lalui sehingga ada nyawa anggota bomba yang terkorban ketika menjalankan misi penyelamatan!

Sumber: Injury Lawyer New Port News

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds