Setiap ibu bapa yang penyayang, pasti mahukan segala yang terbaik buat anak-anak. Namun begitu skil keibubapaan apabila mendidik anak-anak perlu dilakukan dengan cara yang betul dan mudah difahami. Kemahiran ibu bapa apabila mendidik anak-anak semasa mereka kecil sudah pasti mencorakkan nilai dan sikap mereka apabila dewasa.

Ikuti perkongsian daripada seorang wanita berbangsa Cina tentang petua menjaga anak-anak yang amat berguna untuk dipraktikkan, hasil tulisan salah seorang pelanggannya di pasar, Nurul Atika Moktar di halaman Facebook.

Kredit: Liputan6.com/ Sekadar Gambar Hiasan

Pergi ke pasar dengan Adra tadi, saya terserempak dengan seorang makcik berbangsa Cina memberi tips dan cara mengajar anak-anak. Dua orang anak dia berkelulusan Sarjana, yang mana seorang bekerja di China dan seorang lagi bekerja di Hong Kong.

Katanya, anak kecil yang masih kecil jangan dipaksa dia menengok buku. Telefon pintar jangan bagi main terlalu lama. Ibu kena selalu tanya dia. Contoh, macam mana hari ini pergi pasar. Beritahu dia ini sayur apa, ini ikan apa. Sayur ini warna apa. Apabila sudah pulang ke rumah, minta dia ceritakan apa yang anak kecil ini buat di pasar kepada bapanya. Ibu bawa pergi mana, beli apa, beli berapa, warna apa. Minta anak ingatkan kembali, supaya dia boleh ceritakan semua butirannya semasa berada di pasar.

Kredit : Shutterstock / Sekadar Gambar Hiasan

Semasa berada di rumah, sila jangan mengajar anak semasa kamu sedang berdiri. Kamu tinggi dia pula masih rendah. Nanti pasti dia rasa terdapat jarak dengan ibunya. Apabila mengajar anak, duduk bersama dengannnya, baru dia rasa selesa dan tenang dengan ibu atau bapanya. Jangan terlalu kerap mengajar anak sehingga tidak berhenti. Nanti dia akan berasa tertekan. Ajar anak dalam masa 10 minit macam itu, kemudian lepaskan dia pergi bermain. Apabila dia sudah berasa gembira dan seronok, panggil dia lagi, “Sini kejap, ibu mahu tanya sikit…”

Apabila beri anak barang atau makanan, ajar dia sejak kecil untuk berkongsi. Contoh apabila kita beri dia epal, tanyakan dia, “Mahu sikit.”. Didik dalam dirinya apabila dia mendapat barang atau apa-apa sahaja, itu bukan miliknya seorang. Lebih-lebih lagi jika berkongsi dengan ibu bapa. Nanti apabila dia dewasa, sudah pasti dia akan selalu ingat dengan ibu bapanya.

Kredit : arah.com / Sekadar Gambar Hiasan

Jika ibu bapa buat silap, minta maaf dengan anak-anak dan turunkan ego sebagai orang tua mereka. Tidak semestinya semua tindakan ibu bapa itu sentiasa betul, dan anak-anak itu sentiasa salah.

Pesan makcik ini, kalau ibu bapa buat salah, jangan pula ego tidak mahu meminta maaf. Katakan kepada anak-anak, “Oh! ya tadi ibu ada buat salah, minta maaf!”

Dan apabila anak tidak dapat nombor satu di sekolah, jangan pula marah dia. Kamu marah atau tidak marah sama sahaja. Benda sudah terjadi dan berlalu. Kalau semua orang dapat nombor satu siapa pula yang akan dapat nombor tercorot?

Kredit : Parenting Bloom / Sekadar Gambar Hiasan

Jangan bandingkan anak sendiri dengan anak orang lain. Sama macam kita orang susah makan ikan kecil. Tauke besar itu makan ikan besar dan mahal. Sudahnya dia kenyang, kita juga sama-sama kenyang. Tiada beza.”

Makcik ini mahu sampaikan kepada semua, rezeki itu kurniaan Tuhan dan semua orang akan dapat. Rezeki masing-masing, jadi sentiasa bersyukur. Jika kita sering membandingkan anak kita dengan anak orang, kita sebenarnya sedang mengajar mereka berasa hasad dengki dengan orang lain. Kita selalu berkata untuk membanding kelebihan anak orang lain di hadapan anak-anak. Minta dia menjadi macam orang itu dan macam orang ini. Tanpa sedar, kita telah mengecilkan hati anak-anak.

Kredit : Shutterstock / Sekadar Gambar Hiasan

Anak-anak itu satu kurniaan dan amanah. Dengan ilmu keibubapaan yang baik, ibu bapa mampu mendidik, mencorak dan memelihara anak-anak dengan baik sehingga mereka menjadi insan yang berjaya dan berguna apabila dewasa kelak.

Sumber : Nurul Atika Moktar / Facebook , SAYS

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds