SONGKLA- Enam butir bom dilaporkan diletupkan lagi pada keesokan hari di beberapa daerah di Wilayah Songkla selepas dua butir bom diletupkan pada malam Rabu.

Menurut Gabenor Wilayah Songkla Wiranan Penjang, letupan kali ini menyasarkan tiang elektrik sehingga menyebabkan beberapa tiang elektrik tumbang namun tiada kecederaan dilaporkan.

Katanya lagi, “Kami percaya letupan bom itu berkait dengan kejadian serangan bom di Pantai Samila lewat malam tadi.”

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 10 malam Rabu (11 malam waktu Malaysia), dua butir bom telah meletup menggegarkan Pantai Samila yang popular di sini menyebabkan kerosakan pada patung emas ikan duyung dan juga patung kucing dan tikus.

Bom pertama meletup di patung kucing dan tikus yang terletak kira-kira 200 meter dari patung emas ikan duyung itu. Kira-kira 10 minit kemudian, bom kedua pula meletup sehingga menyebabkan pangkal patung emas ikan duyung itu terbelah, katanya.

Wiranan berkata, serangan bom malam semalam dipercayai didalangi oleh anggota kumpulan bersenjata Barisan Revolusi Nasional yang aktif di wilayah ini sejak 14 tahun lalu.

“Kedua-dua bom semalam diaktifkan menerusi jam tangan,” kata gabenor itu yang percaya serangan tersebut bertujuan memusnahkan ekonomi dan industri pelancongan wilayah Songkla.

Walau bagaimanapun, menurut Wiranan tiada kecederaan yang berlaku dalam insiden tersebut.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Mohd Afandi Abu Bakar, ketika dihubungi, juga mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu.

Wiranan berkata pasukan forensik akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh di dua lokasi yang telah ditutup kepada pengunjung. Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga akan meningkatkan lagi kawalan keselamatan termasuk memeriksa kenderaan pengunjung terutama menjelang sambutan tahun baharu Selasa ini.

Sumber: NST , MYMETRO , The Nation

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds