Majoriti penduduk New York tidak akan menggunakan perkhidmatan kereta api bawah tanah jika mereka perlu berkejar untuk ke sesuatu majlis yang penting. Tambahan pula, sejak kebelakangan ini ada laporan mendakwa bahawa perkhidmatan kereta api tersebut sering tertangguh dan membuatkan tempoh perjalanan menjadi semakin lambat.

Bagaimanapun, Jerich Marco Alcantara dan keluarganya memutuskan untuk mempercayai perkhidmatan berkenaan dan menggunakannya untuk menghadiri majlis graduasinya di kolej.

Jerich merupakan anak pertama dalam kalangan adik-beradiknya yang berjaya menamatkan pengajian di kolej kejururawatan Hunter-Bellevue dan memperoleh ijazah.

Mereka sekeluarga memulakan perjalanan keluar dari rumah sekitar jam 8.15 pagi dengan harapan mereka akan tiba di kolej sejam kemudian. Jerich bersama-sama dengan ibu bapa, ibu saudara, keluarga angkat, rakan-rakan serta teman wanitanya telah menaiki kereta api tersebut menuju ke majlis berkenaan.

Jerich yang sudah lengkap dengan jubahnya tiba-tiba dikejutkan dengan pengumuman yang memberitahu bahawa perjalanan kereta api tersebut terpaksa dihentikan buat sementara waktu berikutan masalah kegagalan fungsi brek.

Semua penumpang kereta api terkandas selama sejam lebih sebelum kereta api lain tiba untuk memindahkan mereka dan membawa penumpang ke destinasi seterusnya. Namun begitu, nasib malang sekali lagi menimpa Jerich sekeluarga apabila kereta api yang kedua ini turut dihentikan disebabkan oleh masalah lampu isyarat…

Setelah mengalami insiden malang dua kali berturut-turut, Jerich yakin dia tidak akan sempat menghadiri majlis penting itu.

Bagi memecahkan keheningan suasana, Jerich secara spontannya telah membuat lawak jenaka kepada semua penumpang lain yang turut terkandas bersama-samanya dengan menyatakan:

“Terima kasih semua kerana sanggup datang dan melihat hari graduasi saya. Saya sangat menghargainya”.

Tindakan itu membuatkan suasana menjadi ceria dengan tepukan gemuruh daripada para penumpang sekali gus mendorong rakan-rakannya untuk menyambut hari penting buat Jerich itu di dalam kereta api berkenaan.

Salah seorang rakannya berpura-pura menjadi ‘dekan’ dan melukis gambar sijil di telefonnya manakala beberapa lagi rakan lain memainkan lagu Green Day berjudul Good Riddance (Time of Your Life) serta lagu Congratulations oleh Post Malone.

Meskipun ia bukanlah majlis rasmi yang diharapkan oleh Jerich tetapi memori yang dicipta bersama senyuman dan sorakan serta ucapan tahniah daripada para penumpang lain ini pastinya akan kekal terpahat dalam ingatannya.

Lihat video upacara penyampaian ijazah khas ini:

Kredit: Nasiya Afzal | Facebook

Sumber: Era Baru , Nasiya Afzal | Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds