Seekor anjing terbiar yang ditinggalkan tuannya di sebuah perhentian bas sejak musim panas lalu kini mempunyai tuan dan rumah baharu sempena Hari Natal!

Menurut Daily Mail, haiwan yang setia ini telah menunggu kepulangan tuannya meskipun keadaan suhu pada ketika itu sangat rendah iaitu pada -30°C. Anjing ini juga kelihatan ceria apabila melihat kereta berwarna kelabu melalui kawasan berkenaan.

“Anjing ini sangat setia, kami rasa tuannya dahulu mempunyai kereta berwarna kelabu. Anjing ini hanya akan mengejar kereta kelabu dengan harapan dapat menemui tuannya semula,” kata seorang peladang tempatan bernama Sabrygali Baysagurov yang pernah mencuba untuk menangkap anjing berkenaan tetapi gagal.

Terdapat juga segelintir penduduk setempat yang simpati dan memberikan makanan kepada anjing yang malang itu… Malah, ada juga yang meletakkan rumah anjing sebagai tempat perlindungan tetapi anjing ini lebih rela untuk berbaring di atas jerami dan melihat kereta lalu-lalang.

Ramai menggelar anjing ini sebagai Hachiko sempena nama seekor anjing di Jepun yang menunggu selama 9 tahun di tempat sama setelah kematian tuannya.

Kisah mengenai anjing ini mendapat perhatian media di daerah Novosibirsk yang kemudiannya membuatkan sekumpulan penyelamat haiwan memandu sejauh 250 batu demi menyelamatkannya. Dalam keadaan sejuk seperti itu, mereka bimbang anjing ini akan menemui ajalnya. Justeru, mereka segera melakukan apa yang patut dilakukan…

“Keadaan membeku pada ketika ini dan anjing itu tetap setia menunggu tuannya,” kata Baysagurov.

Sementara itu, salah seorang sukarelawan memberitahu, “Kami membaca kisah anjing ini dan datang pada keesokan hari untuk menyelamatkannya. Anjing ini tidak mempercayai kami dan enggan datang rapat. Kami mencuba pelbagai cara tetapi selepas bermain permainan Tangkap Saya, rakan sekerja saya iaitu Irina berjaya meletakkan selimut di atas anjing itu dan kami membawanya memasuki kereta.”

Tambah sukarelawan bernama Alexey itu lagi, “Kami cuba meningkatkan suhu badannya dan lama-kelamaan anjing ini menjadi semakin mesra. Saya sangat mengagumi kesetiaan anjing ini.”

Setelah diselamatkan, Irina yang jatuh cinta dengan Hachiko dan turut memelihara beberapa haiwan lain kemudiannya membawanya pulang ke rumah. Hachiko kini kelihatan lebih gembira dan ceria kerana mempunyai rumah, tuan dan juga rakan-rakan baharu untuk bermain bersama.

Hadiah Hari Natal yang sempurna buat Hachiko dan Irina!

Sumber: Daily Mail

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular

Ad will display in 09 seconds