Nasi ayam sudah pasti menjadi makanan kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia, tidak kira kaum dengan pelbagai peringkat usia. Bermula peringkat usia kanak-kanak sehingga golongan dewasa dan warga emas. Bagi para ibu dan bapa yang suka memasak, mempelajari resipi nasi ayam paling ringkas seharusnya menjadi perkara yang wajib untuk diletakkan di dalam buku resipi dan menu keluarga.

Perkongsian resipi nasi ayam ringkas tetapi cukup enak dan menyelerakan hasil air tangan Puan Rosma Ros di halaman Facebook Masak Apa Hari Ini cukup mudah. Resipi lengkap dengan ayam perap yang digoreng dengan sempurna, lembut di dalam dan cantik berkilat di luar. Dimakan bersama nasi yang lembut, sup serta sos cili dan kuah kicap yang enak.

Ikuti resipi nasi ayam ringkas, dengan langkah demi langkah seperti di bawah.

BAHAN-BAHAN

A. Rebusan Ayam

Seekor ayam

1 labu bawang besar dipotong kasar

1 inci halia yang diketuk

2 batang serai

3 ulas bawang putih.

B. Nasi

5 cawan beras

1 inci halia dipotong nipis

3 labu bawang merah dipotong halus

4 ulas bawang putih dipotong halus

1 batang kulit kayu manis (bersaiz kecil)

Bunga lawang

Cengkih

Lemak ayam daripada kulit ayam

1 sudu besar marjerin atau mentega

1 paket kecil kiub ayam

Sedikit serbuk kunyit, hanya untuk warna

1 simpul daun pandan

Garam secukup rasa.

C. Ayam Goreng

3 ulas bawang putih

Setengah inci halia

2 sudu besar sos tiram

1 sudu besar sos lada hitam

Kicap manis mengikut rasa

Setengah sudu gula merah atau gula kabung

Sedikit garam

1 sudu kecil pati ayam

Sedikit marjerin atau mentega.

CARA-CARA

1.Basuh dan potong ayam.

Seekor ayam dipotong mengikut cita rasa dan belahan. Asingkan lemak dan jangan buang kerana akan diguna sebagai bahan membuat minyak ayam. Jika ayam dibeli di pasaraya, mereka sudah memotong mengikut bahagian dan ketulan. Jadi anda boleh terus membasuh tanpa perlu memotong lagi.

Kredit: Sirap Limau

2.Rebus ayam.

Ayam direbus terlebih dahulu sebelum diperap dan digoreng supaya mendapat hasil ayam lebih berjus dan cantik. Air rebusan ayam akan digunakan untuk memasak nasi dan sup.

Caranya, panaskan air bersama bahan-bahan A di atas. Tunggu hingga mendidih, baru masukkan ayam. Jangan terlalu lama kerana ayam akan kecut.

3.Masak nasi.

Untuk memasak nasi, gunakan bahan B di atas.

Mula-mula, masukkan lemak ayam ke dalam periuk nasi bersama sedikit marjerin. Buka api sederhana dan biarkan lemak bertukar menjadi minyak.

Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih, bawang putih, bawang merah dan halia. Tumis seketika sehingga kekuningan dan biarkan layu.

Kemudian, masukkan beras yang telah dibasuh, pati ayam, marjerin, daun pandan dan garam. Kacau sebati semua bahan ini.

Masukkan air rebusan ayam bersama sedikit serbuk kunyit. Sukatan air mengikut 5 cawan beras tadi, jangan terlebih air kerana takut nasi akan terlembik. Tanak nasi sehingga masak.

4.Perap dan goreng ayam.

Untuk menyediakan ayam goreng yang cantik dan berkilat, gunakan bahan C di atas.

Mula-mula, tumbuk halia dan bawang putih, perah dan ambil jusnya sahaja. Kemudian gaul semua bahan lain sehingga sebati. Perap sekurang-kurangnya 1 jam dengan ayam yang sudah direbus seketika tadi. Jika perap ketulan ayam lebih lama, rasa merasuknya lebih sedap.

Untuk nampak berkilat, masukkan ayam dalam kuali untuk menggoreng dengan sedikit kuah perapan ayam dan tambahkan satu sudu madu. Jika tiada madu, boleh letak marjerin untuk memberi sinar kilatan pada ayam. Gaul ayam sehingga nampak berkilat, angkat dan toskan.

Semasa menggoreng, gunakan api sederhana dan kemudian perlahan. Anda perlu terbalikkan ayam di kedua belah supaya tidak hangit. Jangan masak terlalu lama kerana ayam akan menjadi kering dan tidak lagi berjus.

5.Sediakan sos cili atau sambal.

Makan nasi ayam tidak akan lengkap tanpa sos cilinya. Untuk menyediakannya, bahan-bahan adalah seperti di bawah.

5-7 biji cili merah (jika suka pedas boleh tambah cili padi atau cili api merah)

Gula secukup rasa

Gula merah atau gula kabung

Garam secukup rasa

5 ulas bawang putih

Limau nipis bagi memberi rasa sedikit masam (boleh juga mengganti dengan sedikit cuka)

Sos cili dalam sukatan 4 hingga 5 sudu besar.

Caranya, kisar semua bahan dan masak di atas api sederhana atau perlahan sehingga ia pekat dan berkilat. Jika anda sukakan sos yang lebih cair, masak sampai sos mendidih dan selepas itu tutup api.

6.Kuah kicap.

Kuah kicap sebagai pelengkap. Gunakan lebihan kuah perapan ayam dan tambahkan air rebusan ayam dengan menambah kicap manis secukup rasa. Masak campuran ini sehingga mendidih dan tutup api.

7.Sup nasi ayam.

Untuk sup nasi ayam, gunakan bahagian ayam seperti kaki ayam, tengkuk dan lebihan ayam bertulang untuk mendapatkan stoknya. Rebus sehingga masak. Tumiskan kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih bersama sedikit bawang merah buat seketika dan masukkan ke dalam air rebusan.

Masukkan pati ayam, lada sulah dan garam secukup rasa. Rebus sehingga mendidih. Rasa sup tersebut. Jika masih tawar, tambah sedikit garam mengikut rasa.

Taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng.

8.Sediakan salad dan sayuran.

Hiriskan timun, tomato, lobak merah dan daun salad untuk dihidangkan bersama nasi ayam. Hidangan seimbang bersama nasi ayam. Lengkap dengan protein dan vitamin.

Siap untuk dihidangkan dan begini hasilnya…

Sudah pasti teringin mencuba resipi nasi ayam ringkas untuk hidangan seisi keluarga dan rakan taulan. Selamat mencuba!

Sumber : Puan Rosma Ros/ Facebook , Sirap Limau

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Resipi

Video Popular

Ad will display in 09 seconds