Ramai yang berkata kini penuntut universiti tidak kisah dan tidak lagi malu untuk bekerja sambilan pada musim cuti semester, demi mengisi masa lapang dan mencari duit poket tambahan.

Graduan universiti terkemuka juga tidak terkecuali, menceritakan pengalaman bekerja sewaktu mereka masih bergelar mahasiswa seperti Azwan Ali. Agak menarik perhatian apabila pemuda ini langsung tidak memilih pekerjaan kerana mahu menimba pengalaman. Salah satu pekerjaan sambilannya di musim cuti semester ialah menjadi pengawal keselamatan.

Kredit : [email protected]/Twitter

Azwan Ali, pemuda gigih yang berasal dari Kuala Lumpur sanggup menyarung uniform putih ‘pak guard’ dan bekerja sebagai seorang pegawal keselamatan di kawasan perumahan ketika cuti semester universiti.

Baru-baru ini, Azwan Ali telah memuat naik dua gambarnya di halaman Twitter menunjukkan dirinya memakai uniform pengawal keselamatan dan jubah graduasi dengan kapsyen, “Bermula daripada bawah, kini kita di sini.”

Kredit : [email protected]/ Twitter

Graduan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) ini berkata kepada mStar, gambar yang diambil ketika beliau memakai uniform pengawal keselamatan itu telah diambil selepas pemuda ini tamat mengikuti kursus latihan Pengawal Keselamatan Diperakui (CSG).

Kini, Azwan yang berusia 22 tahun telah berjaya mendapat pekerjaan sebagai Penganalisis Teknologi Maklumat (IT) di sebuah syarikat multinasional minyak dan gas di Johor.

Kredit : [email protected]/Twitter

Menurut Azwan Ali yang gemar melakukan pelbagai pekerjaan ketika bergelar pelajar, “Sejak tamat Tingkatan Tiga lagi saya sudah mula bekerja sambilan. Dahulu saya pernah bekerja sebagai pekerja cuci pinggan mangkuk di medan selera dan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya pernah bekerja di kedai serbaneka.”

Azwan menambah, “Ketika berada di universiti, saya teringin mencuba pekerjaan sebagai pengawal keselamatan. Jadi, apabila tiba cuti semester, saya membuat kerja sambilan menjadi pengawal keselamatan di kawasan taman perumahan.”

Kredit : mStar

Jelas Azwan, beliau bekerja sambilan dengan melakukan pelbagai pekerjaan tersebut, bukan kerana mengalami masalah kewangan keluarga, kerana kedua ibu bapanya mampu dan cukup serba-serbi dalam menyara keluarga mereka.

Katanya, “Saya tidak pernah mempunyai masalah duit belanja. Tetapi sekadar teringin untuk mencuba bagaimana keadaan dan perasaan berada di tempat seorang pengawal keselamatan. Sebelum ini, kita ingat kerja mereka mudah, tetapi sebenarnya tanggungjawab mereka amat besar untuk menjaga keselamatan.”

Kredit : mStar

Azwan yang dibayar sebanyak RM50 sehari untuk pekerjaan itu tidak menafikan yang beliau sering dipandang rendah kerana sanggup menyarung uniform pengawal keselamatan.

Katanya, “Stigma orang memandang rendah kepada pekerjaan pengawal keselamatan ini kerana mereka tiada pelajaran memang sudah biasa saya lalui. Sebenarnya kita tidak boleh memandang orang dengan sebelah mata kerana semua pekerjaan halal yang dilakukan adalah mulia.”

Kredit : mStar

Akhir kata daripada pemuda gigih bernama Azwan ini, “Kita saling memerlukan antara satu sama lain. Contoh, jika tiada orang yang mahu mengutip sampah, negara akan menjadi kotor dan terbiar.”

Sumber : mStar, [email protected]_Twitter

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds