GEORGETOWN – Sembilan pendaki yang dilaporkan sesat dan hilang di Bukit Bendera, Pulau Pinang pada petang 25 Disember telah berjaya ditemui pada pukul 1.09 pagi 26 Disember oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Menurut wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, satu operasi menyelamat menggabungkan dua cawangan bomba dari Bagan Jermal dan Paya Terubong dijalankan pada 7:30 petang hari Selasa dan mereka berjaya ditemui pada awal pagi Rabu.

“Kami berjaya mengesan semua mangsa pada pukul 1.09 pagi dan mereka juga boleh mendengar isyarat siren dari kami, mangsa kemudiannya membuat nyalaan unggun api sementara menunggu pasukan penyelamat tiba di lokasi,” katanya.

Operasi berkenaan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selain anggota yang mendaki bagi mencari jejak pada laluan pendakian yang digunakan pada ketinggian 833 meter daripada aras laut. Kesemua pendaki selamat dibawa turun dan operasi menyelamat secara keseluruhannya telah ditamatkan pada jam 5:20 pagi Rabu.

Difahamkan bahawa orang ramai telah mula mengikuti trend pendakian pada waktu malam. Oleh yang demikian, pengarah Penang Hill Corporation, LL Cheok, menasihati orang ramai agar tidak mendaki pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Kredit: Bomba

Sembilan mangsa yang terlibat dikenali sebagai Lim Sang Yang, 51; Cheng Chang Hua, 61; Chan Che Chen, 60; Yap Heng Leong, 39; Ho Cheng Meng, 60; Eng Gin Weh,18, dan Tam Han Gen, 33, serta dua wanita Tan Kah Oii, 24, dan Ambika, 35.

Sementara itu salah seorang daripada mangsa, Han Gen berkata mereka mula mendaki Bukit Bendera pada pukul 5 petang dan menggunakan laluan pendakian yang selalu dan biasa digunakan oleh pendaki di situ.

Namun, katanya selepas lebih dua jam mendaki, mereka menyedari telah tersesat kerana gagal mencari laluan yang sepatutnya untuk turun ke kaki Bukit Bendera sebelum beliau mengambil keputusan untuk menghubungi pihak bomba.

“Kami tidak tahu macam mana boleh sesat kerana ada dalam kalangan kami memang sudah biasa dengan laluan di Bukit Bendera. Terima kasih pihak bomba bantu bawa turun kami dengan selamat,” katanya.–Bernama

Sumber: The Star

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds