Pisang adalah antara buah-buahan yang mengandungi banyak vitamin yang baik untuk kesihatan. Pelbagai cara masakan yang boleh dilakukan dengan menggunakan pisang.

Antaranya ialah pengat pisang, pisang masak lemak, cekodok pisang, smoothie pisang dan lain-lain. Selain itu, kek pisang juga merupakan antara makanan yang menjadi kegemaran ramai orang.

Terdapat banyak resipi kek pisang yang dikongsi oleh netizen di laman sosial namun yang menjadi kesukaran ialah tidak memiliki ketuhar atau ketukar telah rosak.

Tidak kira apa pun masalah, pasti ada jalan penyelesaiannya.

Seorang pengguna facebook Puan Hazliza Dza telah berkongsi cara membakar kek pisang dengan hanya menggunakan kuali. Pasti anda berasa ragu-ragu bukan? Tetapi ternyata teknik ini memang menjadi! Mari lihat teknik tersebut!

1. Panaskan kuali dengan api yang besar (teknik ini sama seperti memanaskan ketuhar sebelum menggunakannya).

2. Apabila kuali telah panas, kecilkan api.

3. Kemudian letakkan redai atau tungku (seperti dalam gambar).

4. Letakkan acuan atau loyang yang telah diisikan adunan kek pisang dan tutup dengan menggunakan penutup pengukus.

Kek hendaklah di bakar mengikut saiz acuan. Seperti Puan Hazliza Dza, dia membakar kek tersebut selama 50 minit.

Puan Hazliza Dza mengingatkan supaya jangan sesekali buka penutup pengukus tersebut sebelum 30-40 minit membakar kerana ditakuti kek akan mendap.

Katanya lagi, bakar kek tersebut tanpa meletakkan air di dalam kuali kerana jika diletakkan air, kek tersebut akan menjadi kek pisang kukus. Usah risau kerana setakat Puan Hazliza Dza mempraktikkan teknik ini, kuali tidak terbakar.

Jika anda tidak tahu bagaimana hendak memasak kek pisang, usah risau kerana Puan Hazliza Dza turut berkongsi resipi kek pisang bakar guna kuali tersebut. Mari lihat resipinya.

Bahan-bahan untuk dikisar:

  • 1 cawan pisang yang telah dilecek (apa-apa jenis pisang pun boleh).
  • 3/4 cawan gula (kemanisan ikut selera masing-masing).
  • 3 biji telur.
  • 1 cawan minyak masak.
  • 1 sudu besar limau nipis (boleh menggunakan lemon, limau kasturi atau yang setara dengannya)
  • Secubit garam

Bahan-bahan yang perlu diayak:

  • 1 1/2 cawan tepung
  • 1 sudu kecil baking soda
  • 1 sudu kecil baking powder

Cara-caranya:

1. Kisar semua bahan yang perlu dikisar kecuali pisang selama 2-3 minit. Apabila semua bahan sudah sebati, campurkan pisang yang telah dilecek dan kisar sekejap.

2. Satukan bahan-bahan yang perlu diayak dalam bekas. Kemudian campurkan bahan yang telah dikisar tadi dan adun hingga sebati.

3. Sapukan marjerin atau mentega pada acuan atau loyang untuk memastikan kek tidak melekat pada bekas tersebut. Selain itu, boleh gunakan kertas minyak (baking paper) untuk dialaskan dalam acuan.

4. Tuangkan adunan dan hias dengan menggunakan pisang yang telah dipotong nipis supaya tidak tenggelam ketika kek dibakar.

5. Bakar selama 50 minit atau hingga masak. Periksa keadaan kek selepas 40 minit membakar supaya kek tidak mendap atau bantat.

 

Kini, tiada lagi alasan untuk anda tidak mencuba teknik membakar kek menggunakan kuali. Selamat mencuba!

Sumber: Facebook | Puan Hasliza Dza

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Resipi

Video Popular

Ad will display in 09 seconds