JAKARTA – Kumpulan pop rock terkemuka Indonesia, ‘Seventeen’ yang sedang mengadakan persembahan di Tanjung Lesung merupakan antara mangsa tragedi bencana tsunami tanpa amaran yang melanda Selat Sunda, Indonesia pada malam Sabtu, 22 Disember 2018. Pemain gitar bass, Bani dan pengurus kumpulan, Oki disahkan terbunuh, manakala pemain dram, Andi  dan pemain gitar, Herman dilaporkan masih hilang.

Rakaman video dramatik yang telah dimuat naik di media sosial menunjukkan tsunami tanpa amaran tiba-tiba melanda Pantai Tanjung Beach Resort, Tanjung Lesung, Banten ketika kumpulan tersebut sedang mengadakan konsert terbuka hari keluarga anjuran sebuah syarikat korporat, PLN.

Kredit : seventeenbandid/Instagram/Berita Harian

Vokalis kumpulan, Riefan ‘Ifan’ Fajarsyah memaklumkan dirinya terselamat dalam kejadian tsunami tersebut menerusi akaun Instagram peribadinya. Bagaimanapun, isterinya Dylan Sahara yang turut berada di tempat kejadian masih hilang dan belum dapat ditemui selepas dibawa arus tsunami.

Turut dilaporkan hilang bersama dua ahli kumpulannya ialah seorang krew dikenali sebagai Ujang. Ifan juga mengesahkan rakannya, Bani atau Muhamad Awal Purbani dan pengurus kumpulan, Oki Wijaya telah meninggal dunia di tempat kejadian ketika arus deras tsunami melanda, bersama 29 mangsa lain yang terdiri daripada kakitangan dan ahli keluarga syarikat PLN.

Kredit : ifanseventeen/Instagram

Sambil menitiskan air mata Ifan berkata dalam akaun Instagramnya, “Kita kehilangan pemain bass, Bani bersama pengurus, Oki. Andi, Herman dan Ujang masih belum ditemui, doakan mereka ditemui bersama isteri saya yang turut hilang.”

Reuters melaporkan menerusi agensi bencana Indonesia, dengan mengesahkan angka  kematian terkini bencana tsunami yang melanda kawasan sekitar pantai Selat Sunda, di antara kepulauan Sumatera dan Jawa telah meningkat kepada 280 orang, dengan 850 mangsa cedera dan 28 orang dilaporkan masih hilang. Lebih 3,000 penduduk sekitar pantai diarahkan berpindah dengan serta-merta ke kawasan lebih tinggi berikutan amaran gelombang air pasang besar sehingga Selasa.

Kredit : AFP/ New Straits Times

Menurut jurucakap agensi bencana di Pandeglang, Endan Permana berkata, “Kami merumuskan laporan tsunami Selat Sunda melanda wilayah Serang, Pandeglang dan Lampung Selatan.”

Endan Permana juga mengesahkan gelombang tsunami dipercayai mempunyai kaitan dengan letusan awal gunung berapi Anak Krakatau yang aktif sejak beberapa bulan yang lalu.

Kredit : Reuters/Antara Foto/Bisnis Indonesia/ Nurul Hidayat/ NST

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik dalam kenyataan berkata, gunung berapi Anak Krakatau meletus kira-kira jam 9.00 malam 22 Disember, dan tsunami melanda tanpa amaran kira-kira setengah jam kemudian, pada jam 9.30 malam.

Jurucakap agensi bencana kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataannya berkata, “Tsunami mungkin tercetus akibat gelombang pasang surut air laut secara mendadak yang tidak normal berikutan bulan penuh dan tanah runtuh di dasar laut susulan letusan gunung berapi Anak Krakatau. Gabungan ini menyebabkan tsunami tiba-tiba melanda sekitar pantai di Selat Sunda.”

Kredit : AFP/ New Straits Times

Rakaman video di media sosial Twitter Sutopo menyiarkan penduduk yang panik apabila tsunami tanpa amaran tiba-tiba melanda dengan masing-masing melarikan diri ke kawasan lebih tinggi. Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia mendakwa gelombang itu bukan tsunami tetapi gelombang pasang surut dan meminta supaya orang ramai tidak panik.

Sutopo kemudian meminta maaf berlakunya kesilapan di halaman Twitter. Menurutnya, oleh kerana tidak berlaku gempa bumi, maka amat sukar untuk menentukan punca kejadian lebih awal. Beliau bagi pihak agensi bencana telah meminta maaf akan kesilapan awal tersebut.

Lihat video dibawah.

Kredit : 988/ Facebook

Sumber : New Straits TimesMStar , The Guardian

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds