Di satu kawasan pedalaman di Daerah Lanxian, Wilayah Shanxi di China, kelihatan sebuah rumah kecil dengan halaman depan yang menghijau penuh dengan tanaman tomato, cili hijau, kekacang, sayur-sayuran dan deretan batas jagung. Kelihatan seperti sebuah rumah yang dihuni keluarga bahagia.

Namun, hakikatnya rumah ini hanya dihuni sendirian oleh seorang gadis remaja berusia 17 tahun, remaja perempuan bernama Li Mingling merupakan tuan rumah yang bertanggungjawab menjaga rumah tersebut dan dia sudah tinggal di situ secara bersendirian selama bertahun-tahun semenjak kecil.

Tidak seperti kanak-kanak lain yang ditinggalkan di China, Li Mingling sebenarnya dibelai dengan kasih sayang oleh ibu bapanya sejak dilahirkan. Hari-hari bahagia yang dilalui kemudian lenyap apabila secara tiba-tiba ibu Mingling meninggalkannya bersama bapanya tanpa alasan dan apa-apa berita.

Ketika ibunya pergi meninggalkan keluarga, Li Mingling baru berusia 6 tahun. Semenjak itu, ibunya langsung tidak pernah datang menjenguk walaupun sekali.

Bapa Li Mingling berfikir isterinya meninggalkannya dan anak perempuan mereka kerana kehidupan mereka yang miskin, dan dia tidak dapat menerima hakikat tentang perkara itu. Semenjak itu, bapa Mingling telah bekerja keras untuk mencari rezeki dan untuk mengubah kehidupan keluarganya, dia hanya pulang ke rumah sebanyak dua kali dalam setahun.

Oleh kerana bapa Mingling sentiasa tiada di rumah, segala kerja di dalam rumah itu menjadi tanggungjawab anak gadis ini yang dilakukanya secara sendirian, tanpa pertolongan sesiapa. Walaupun pada ketika itu, Mingling ditemani oleh datuknya, tetapi dia telah uzur.

Menurut Mingling yang sudah bertahun-tahun secara rutin menjaga rumah itu berkata, “Sebelum saya masuk tidur setiap malam, saya akan mengunci dan menyendal kayu yang tebal di pintu masuk, supaya rumah ini menjadi lebih selamat.”

Walaupun semenjak kecil, Li Mingling tidak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar ibu bapa dalam menguruskan kehidupan, apa yang mengagumkan tugas menjaga diri sendiri dan rumah itu dapat dilakukannya dengan baik.

Gadis remaja ini memiliki kemahiran melakukan semua kerja rumah seperti memasak, membersihkan pakaian, mengemas rumah sehingga bercucuk tanam di halaman rumahnya yang luas. Li Mingling mampu menyara hidupnya sendiri tanpa masalah.

Malang melanda lagi, semasa usianya meningkat 14 tahun, bapa yang jarang ditemuinya telah didiagnosis dengan penyakit barah. Tidak lama kemudian, penyakit barah itu telah merebak dengan cepat, dan akhirnya bapanya meninggal dunia.

Li Mingling berasa amat sedih kerana bapa yang dikasihi sudah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya, tetapi tetap terus tabah meneruskan kehidupan bersama datuknya yang sudah tua.

Dan setahun yang lalu, datuknya pula telah meninggal dunia akibat penyakit jantung.

Dalam jangka masa beberapa tahun, seorang demi seorang ahli keluarga terdekat meninggalkan Li Mingling sendirian.

Walaupun bapa saudara Mingling menyatakan niat mahu mengambilnya sebagai anak angkat, tetapi dia enggan menerima tawaran itu. Pihak berkuasa tempatan menyedari situasi malang yang dialami oleh Li Mingling lalu telah menghulurkan bantuan saraan hidup sebanyak RM362.00 (600 Yuan) sebulan.

Li Mingling memandang alat muzik tradisional erhu milik datuknya, sambil berkata, “Ini erhu kesayangan datuk saya. Apabila saya melihatnya, terkenang masa-masa yang kami habiskan bersama.”

Oleh kerana Mingling sudah mengetahui dalam serba-serbi menjaga dirinya sendiri dan rumah yang didudukinya sejak kecil, tinggal secara bersendirian bukan satu perkara yang sukar buat dirinya. Namun begitu, kehidupan remaja ini kadangkala diselubungi kesunyian, tetapi kini dia berasa sedikit terhibur dengan kehadiran seekor anak anjing, yang tiba-tiba datang ke rumah selepas pemergian datuknya.

Katanya, “Bila mana saya berasa tidak terdaya dan sangat sedih, anak anjing ini akan datang menghampiri dan berada di samping saya. Rasa tersangat lega apabila dia berada di sisi.”

Apabila Li Mingling ditanya sama ada dia sudah berasa letih setelah tinggal bersendirian sejak sekian lama di rumah yang kosong, remaja ini berkata, “Asalkan rumah ini tidak ditinggalkan, saya mempunyai satu tempat yang dipanggil rumah.”

Katanya lagi, “Saya mahu belajar bersungguh-sungguh. Bukan sekadar saya akan dapat mengekalkan rumah ini tetapi juga untuk membina masa depan yang lebih baik untuk diri sendiri, dan dengan itu mendiang bapa dan datuk saya akan berasa lega melihat pencapaian saya dari atas sana.”

Li Mingling merupakan seorang pelajar sekolah menengah. Setiap pagi sebelum ke sekolah, remaja ini akan memastikan pintu pagar rumah dikunci dan selepas itu dia akan berjalan kaki ke sekolah.

Hati Li Mingling telah banyak dilukai dengan pengalaman tragik sejak di usia muda, tetapi gadis remaja ini sentiasa tabah meneruskan kehidupan dan tetap optimis mahu melihat masa depannya yang cerah.

Dengan sikapnya yang sentiasa bekerja keras dan bertekad serta tabah, sudah pasti Li Mingling mampu menjadi insan yang berjaya di masa hadapan.

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds