Anjing dan kucing bukanlah haiwan yang patut diletakkan berdekatan. Hal ini demikian kerana kedua-dua haiwan ini bermusuh dan ianya terbukti di dalam peribahasa Melayu, bagai anjing dengan kucing.

Malah, kedua-dua anjing dan kucing juga memiliki personaliti yang sangat berbeza. Anjing lebih penyayang dan boleh mendengar arahan dengan baik manakala kucing pula cenderung menyombong dengan manusia tetapi kadangkala sangat manja dan comel.

Baru-baru ini di Turki, seorang wanita berjaya merakamkan satu peristiwa yang amat menakjubkan dan tidak pernah dilihat berlaku sebelum ini…

 

Menerusi video berkenaan, seekor kucing telah terjatuh ke dalam kolam dan terperangkap di dalamnya. Melihatnya keadaan kucing yang malang itu, seekor anjing telah bertindak terjun masuk ke dalam air bagi membantu menyelamatkan kucing berkenaan.

Pada awalnya, sewaktu anjing tersebut mahu menyelamatkan si kucing, kucing yang berada dalam keadaan panik dan ketakutan itu telah bertindak mencakar anjing berkenaan. Namun, atas niat ingin menyelamatkan, anjing yang berani ini telah menyelam masuk ke dalam air dan meletakkan kepalanya di bawah badan si kucing.

 

Kemudiannya si anjing mengangkat kepalanya agar kucing itu dapat diselamatkan dan dibawa ke atas. Setelah kucing itu selamat, si anjing pula yang tersekat di dalam kolam dan tidak mampu untuk mengeluarkan dirinya. Setelah beberapa kali cubaan, barulah anjing ini dapat keluar dari kolam tersebut.

 

Video berdurasi 24 saat yang dikongsikan oleh Figen Sezgin di Twitter ini meraih sehingga 506,000 tontonan sejak ia dimuat naik pada 19 Disember lalu.

Majoriti netizen meluahkan pelbagai reaksi positif dan menyatakan video perkongsian Figen itu sangat menyentuh hati serta menunjukkan bahawa haiwan juga mempunyai sifat belas kasihan dan mengamalkan nilai murni saling tolong-menolong.

 

Pada masa yang sama, ada juga segelintir netizen yang mengecam tindakan si perakam video yang tidak tampil membantu menyelamatkan kedua-dua haiwan itu daripada terperangkap di dalam air.

Apa pun yang telah berlaku, insiden ini benar-benar membuatkan kita semua terharu dengan semangat setia kawan yang ditonjolkan oleh si anjing.

Sumber: UniladFigen Sezgin/Twitter‏

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds