Musim cuti hujung tahun kembali lagi, dan anda dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berada di lapangan terbang mahupun menaiki penerbangan jika bercuti di dalam dan luar negara. Anda mungkin tidak tahu pengedar dan penyeludup dadah sentiasa gemar mencari mangsa dari kalangan orang yang tidak bersalah di lapangan terbang. Secara tidak sedar, anda mungkin menjadi sasaran mereka, untuk menyimpan sementara dan kemudian menyalurkan apa-apa ‘barang’ itu kepada orang lain yang anda tidak kenali.

Seorang netizen bernama Latifah Mohamad baru-baru ini berkongsi pengalamannya di Facebook semasa dia dan anak perempuannya berada di KLIA2 ketika sedang menunggu penerbangan. Katanya, mereka sedang berjalan santai di ruang perlepasan, dan anak perempuannya berjalan di hadapan pada jarak beberapa meter. Tiba-tiba ibu ini melihat seorang wanita dalam lingkungan umur 30-an mendekati anak gadisnya dan mula berbual dengannya.

Kredit : KLIA2

Netizen ini menulis, “Dia berkata kepada anak saya yang dia memerlukan bantuan dan bertanya sama ada anak perempuan saya boleh membantunya memegangkan sementara satu beg kertas mengandungi 2 bungkusan besar serbuk minuman coklat yang terdapat di dalamnya. Wanita ini berkata dia membelikan minuman coklat itu untuk anak-anaknya yang berada di Indonesia, dan daripada bahasa pertuturannya ternyata wanita ini berasal dari negara itu. Oleh kerana dia amat peramah, anak saya bersangka baik dan bersetuju membantunya. Wanita peramah ini juga berkata beg pakaiannya sudah melebihi had berat 7 kilogram dan takut akan terpaksa membayar lebih untuknya.”

Wanita ini kemudian bercerita panjang lebar menerangkan situasinya, sambil bertanya sama ada mereka boleh membantunya memegang buat sementara dan membawakan ‘bungkusan minuman coklat’ itu ke dalam penerbangan kelak. Netizen ini menambah, “Tetapi, apabila saya melihat sekeliling, dia tidak membawa apa-apa beg lain selain beg kertas itu yang cuba diserahkan kepada anak perempuan saya.”

Kredit : KLIA2

Kemudian ibu ini bertegas kepada wanita tersebut dengan berkata, “Kalau begitu, kamu ada dua pilihan, sama ada membayar untuk lebihan berat beg kamu atau buangkan sahaja ‘serbuk minuman coklat’ ini.”

Ibu ini menarik tangan anak gadisnya dan beredar daripada wanita itu. Kemudian dia menasihatkan anak perempuannya dengan berkata, lain kali jika ada sesiapa sahaja yang tidak dikenali meminta memegangkan barang kepunyaan mereka, dengan segera tolong berkata ‘tidak’. Kita tidak tahu apa benda yang terkandung dalam beg itu!

Kredit : Huffington Post

Netizen ini menambah, seorang rakannya pernah melalui pengalaman yang sama, apabila anak perempuannya yang berusia 7 tahun tiba-tiba dilihat sedang bermain dengan anak patung semasa dia masuk ke tandas dalam masa kurang 10 minit. Anak patung itu diberikan oleh seorang wanita peramah yang duduk bersebelahan dengan mereka di KLIA.

Tulis netizen ini, “Rakan saya fikir wanita itu cuma seorang biasa yang baik hati, dan bersangka baik anak patung itu hanya sebagai hadiah, sehinggalah mereka melalui pemeriksaan keselamatan kastam dan imigresen. Selepas itu, bermula mimpi ngeri apabila ibu yang tidak mengetahui apa-apa ini telah disoal siasat selama berjam-jam oleh para pegawai di sana apabila mereka menemui bungkusan dadah di dalam anak patung tersebut, dan wanita itu pula telah menghilangkan diri entah ke mana.

Kredit : Daily Mail

Rakan netizen ini telah dihadapkan dengan tuduhan memiliki dadah, dan terpaksa turun naik mahkamah akan kesalahan yang dia tidak pernah ada niat untuk melakukannya. Dengan campur tangan beberapa pihak yang prihatin dan setelah membayar sejumlah denda yang besar, akhirnya dia telah dilepaskan, jika tidak mungkin kini telah dijatuhi hukuman gantung.

Oleh itu, netizen ini mengingatkan kepada semua golongan masyarakat di luar sana supaya berhati-hati dan berwaspada, terutama ketika berada di lapangan terbang. Menurutnya, tidak salah menjadi sedikit berprasangka dan skeptikal dengan orang yang terlalu peramah di lapangan terbang. Dalam dunia kini, jangan terlalu mudah mempercayai orang lain, kerana kebaikan hati kita itu kadangkala amat mudah diambil kesempatan oleh mereka, yang mungkin akan menjerat kita yang tidak bersalah.

Sumber : Latifah Mohamad / Facebook , World of Buzz

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds