Nama Malaysia sekali lagi menjadi sebutan di peringkat antarabangsa apabila seorang rakyat kita telah berjaya mencipta robot pembuat salad yang pertama di dunia sekali gus meraih anugerah berprestij!

Jurutera Malaysia yang dikenali sebagai K Kathirgugan dilaporkan telah bekerjasama dengan syarikat Chowbotics yang bertapak di California. Chowbotics menumpukan kepada penyediaan makanan bernutrisi yang disediakan oleh robot.

Kredit: FMT

Robot pembuat salad pertama di dunia ini telah diberi nama Sally dan turut memenangi anugerah Produk Paling Inovatif Tahun 2018 dalam Anugerah Best in Biz!

Menurut laporan World of Buzz, pencapaian yang menakjubkan ini bukanlah satu jalan yang mudah untuk diraih memandangkan para juri perlu meneliti lebih daripada 700 rekacipta daripada pelbagai industri di serata Amerika Syarikat dan juga Kanada.

Anugerah Best in Biz kali kelapan ini juga digelar sebagai satu-satunya program anugerah bebas di Amerika Syarikat. Acara ini turut melibatkan penyertaan daripada beberapa juri terkemuka yang terdiri daripada penyunting dan juga wartawan dari syarikat penerbitan terkenal di Amerika Utara.

Kredit: FMT

Antaranya, New York Times, Forbes, Wired, Associated Press, Inc, Consumer Affairs, Healthcare Innovations News, Ottawa Citizen, New York Post, Investor Advisor Magazine, Globe and Mail dan juga Barrons.

Memetik kenyataan daripada FMT, K Kathirgugan yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang turut membantu mencipta robot berkenaan memenangi Anugerah Perak dalam kategori Perniagaan Kecil dan Sederhana.

Kathirgugan bersekolah di SK Bagan Jermal, Butterworth sebelum berpindah ke SMK Bandar Kinrara Seksyen 4 di Selangor. Graduan dari Universiti Nebraska-Lincoln ini juga pernah membina prototaip Sally versi yang pertama bersama pengasas Chowbotics, Deepak Sekar.

Kredit: The Jakarta Post

Semenjak Sally diperkenalkan pada tahun 2015, robot pertama Chowbotics ini telah memberikan perkhidmatan penyediaan makanan sihat di kawasan pejabat, kafeteria, Lapangan Terbang Buffalo di New York dan juga universiti seluruh Amerika Syarikat serta Kanada!

Selain daripada membuat salad, Sally turut menyediakan hidangan sihat lain seperti semangkuk bijirin, semangkuk yogurt dan juga makanan etnik dari Mexico, India Mediterranean, Cina, Perancis dan sebagainya…

Bukan sahaja itu, Sally turut dicipta dengan perisian lembut yang baharu dan terkini di mana ianya membolehkan pelanggan untuk menghasilkan sendiri makanan mereka dengan memilih bahan-bahan yang ingin dimasukkan ke dalam hidangan. Ciri berteknologi tinggi ini juga akan mengira jumlah kalori dan menyediakan jumlah yang bersesuaian kepada pelanggan.

Para pelanggan juga tidak perlu berasa ragu-ragu dengan makanan yang dihasilkan oleh Sally. Hal ini demikian kerana semua resipi adalah dihasilkan oleh sepasukan tukang masak yang diketuai oleh ketua pegawai kulinari, Charlie Ayers yang dahulunya pernah berkhidmat sebagai cef eksekutif Google. Dijamin sedap dan menyelerakan!

Kredit: The Jakarta Post

Deepak turut memberitahu TechCrunch bahawa meskipun Sally kelihatan seperti sebuah mesin layan diri, Sally mampu beroperasi melebihi jangkaan anda.

“Cabaran utama adalah mencari penyelesaian teknikal istimewa untuk mengagihkan bahan-bahan yang terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk,” kata Deepak.

Semoga Deepak dan Kathirgugan mampu terus mencapai kejayaan dan menjadi sumber inspirasi ramai…

Sumber: World of Buzz

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds