BANGKOK – Ratu Cantik Filipina, jelitawan Catriona Elisa Gray dimahkotakan sebagai Miss Universe 2018, seperti mana yang diramal setelah melihat akan pencapaiannya yang cukup hebat dan mempesonakan sejak sesi ‘premilinary’, menewaskan 93 calon dari seluruh dunia.

Malam gala Miss Universe 2018 berlangsung secara gilang-gemilang di Impact Arena, Bangkok, Thailand turut menyaksikan tempat kedua dan ketiga dirangkul oleh Ratu Cantik Afrika Selatan, Tamaryn Green dan Ratu Cantik Venezuela, Sthefany Gutierrez.

Kredit : MissUniverse / Twitter

Catriona Gray, pelajar jurusan teori muzik berusia 24 tahun menerima mahkota Miss Universe 2018 daripada penyandang tahun lalu, Demi-Leigh Nel-Peters dari Afrika Selatan.

Semasa diajukan soalan oleh pengacara Steve Harvey dan supermodel Ashley Graham di peringkat akhir, Catriona Gray ditanya mengenai pengajaran berharga yang dipelajari di dalam kehidupan dan bagaimana beliau akan menggunakannya jika menjadi Miss Universe.

Jawapan yang diberikan amat memukau dengan berkata, “Saya melakukan banyak kerja di kawasan setinggan yang amat miskin dan menyedihkan di Manila. Saya sering mengajar diri untuk melihat kecantikan itu daripada dalam, untuk melihat keindahan yang terpancar pada wajah kanak-kanak, dan saya akan membawa aspek ini sebagai Miss Universe dengan melihat situasi sebagai satu hikmah serta menjadikannya peluang di mana saya boleh memberikan sesuatu dan menyediakan sesuatu.”

Kredit : MissUniverse / Twitter

Tambahnya lagi kepada jawapan tersebut, “Dan dengan ini saya fikir, sekiranya saya dapat mengajar orang lain supaya sentiasa berasa bersyukur, dunia akan menjadi lebih baik dan hebat di mana sikap negatif itu tidak akan menular dan kanak-kanak ini akan sentiasa dapat mengukir senyuman di wajah mereka.”

Jelitawan yang berasal dari Albay, wilayah Bicol di Filipina merupakan wakil keempat dari Filipina yang mengungguli acara Ratu Cantik berprestij ini selepas Gloria Diaz (1969), Margie Moran (1973) dan Pia Wurthbach (2015). Pada malam kemahkotaan tersebut, Catriona Gray memakai gaun malam menawan hasil rekaan pereka fesyen terkenal Filipina, Mak Tumang.

Kredit : MStar

Ketika ditemubual, Catriona Gray berkata, beliau mahu mempertingkatkan program pendidikan mengenai HIV/AIDS dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan di negaranya.

Menurut Catriona, “Saya pernah kehilangan seorang sahabat akibat komplikasi kesihatan berkaitan AIDS. Jadi amat penting bagi saya untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai isu ini dan pada masa yang sama menggalakkan orang ramai supaya menjalani ujian bagi mengetahui status kesihatan mereka. Ia adalah projek pertama yang saya ingin jalankan selepas ini.”

Sumber : MStar , Berita Harian , NDTV 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL HIBURAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds