Tidak ada yang lebih manis daripada melihat persahabatan antara manusia dan haiwan. Kita sering melihat ikatan manusia dengan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing tetapi terdapat ikatan perhubungan antara manusia dan haiwan yang tidak pernah kita jangkakan.

Saya pasti kebanyakan anda akan melihat burung berkeliaran dan terbang di kawasan kejiranan anda. Kebanyakan orang suka memberi makan kepada burung merpati. Dalam kisah ini, Gabi Mann yang berusia lapan tahun memberi makan kepada burung gagak hampir setiap hari selama empat tahun. Walaupun gagak dianggap sebagai haiwan perosak, namun tidak bagi Gabi.

Gabi Mann dari Seattle, Washington, memberi makan kepada burung gagak di taman rumahnya. Kemudian burung gagak tersebut memutuskan untuk membalasnya dengan beberapa ‘hadiah’ untuk gadis kecil yang baik hati tersebut. Gabi terkejut apabila burung gagak membalas budinya dengan membawa ‘hadiah’ kepadanya.

Bahagian yang paling menarik adalah Gabi telah menyimpan kesemua hadiah yang telah diberikan oleh burung gagak di dalam bekas berlabel, tersimpan di dalam kotak penyimpanan manik. Dia menganggap setiap hadiah sebagai barang yang berharga dan dia tidak mahu kehilangannya.

Dia telah menerima segala macam hadiah yang berbeza, seperti kepingan Lego, butang, kertas dan manik. Tetapi hadiah kegemarannya adalah mutiara berbentuk hati. “Ia menunjukkan kepada saya betapa mereka sukakan saya,” kata Gabi.

Gabi mula memberi makan burung gagak di kawasan kejiranannya secara tidak sengaja kerana makanannya terjatuh. Sewaktu dia mahu masuk ke dalam kereta, secara tidak sengaja nuget ayamnya terjatuh. Pada waktu itulah burung gagak yang berkeliaran berhampiran memakan nuget ayamnya.

Apabila dia sedar ini berlaku, dia akan meninggalkan sisa makanan dalam perjalanan ke perhentian bas dengan abangnya. Oleh sebab itu, burung gagak akan menunggu Gabi setiap hari turun daripada bas sekolah. Gabi memberikan sedikit makanan tengah harinya dan ibunya, Lisa Mann tidak kisah dengan tindakan anaknya itu.

“Saya suka apabila tahu mereka sukakan haiwan dan sanggup berkongsi makanan,” kata Lisa Mann. Pada tahun 2013, Gabi dan ibunya memberi makan burung gagak setiap hari dan ia telah menjadi rutin. Tindakan gagak membalas budi mereka dengan memberi ‘hadiah’ juga menjadi telah menjadi rutin. Ikatan istimewa antara mereka seakan-akan kisah dongeng di dunia yang nyata.

Sumber: Happiest

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona Ria

Video Popular

Ad will display in 09 seconds