Perkataan ‘Ini ‘last race’ aku’, yang sering disebut oleh Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ, Mohd Hafiz Nor Azman di hadapan rakan-rakan, rupa-rupanya benar-benar menjadi perlumbaan terakhir buatnya setelah terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia ketika pusingan terakhir CP150, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Dataran Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor pada petang 16 Disember.

Menurut rakan karib Allahyarham Mohd Hafiz, Nurhan Md Nayan, “Saya tidak sangka, perlumbaan hari ini benar-benar menjadi yang terakhir buat dia.”

Kredit : Astro Awani

Nurhan berkata, ketika menghadiri satu majlis kenduri pada minggu lalu, Mohd Hafiz, yang menduduki tangga ketiga keseluruhan CP150 sering menyebut bahawa perlumbaan yang disertai di Johor sebagai yang terakhir buatnya.

Kata Nurhan lagi, “Banyak kali dia sebut, ini ‘last race’ aku, setiap kali kami bersembang mengenai perlumbaan motosikal, dia akan tekankan ayat ‘last race’ itu. Pada mulanya, saya dan rakan lain anggap ia perkara biasa, tetapi hari ini, baru kami faham, ada maksud yang dia mahu sampaikan.”

Kredit : Sinar Harian

Nurhan ketika ditemui di kediaman keluarga Mohd Hafiz di Kampung Serdang Permai, di Simpang Pulai, Perak juga berkata, Mohd Hafiz juga ada mengatakan mahu melakukan yang terbaik pada kejuaraan ini bagi mengumpul mata untuk mengekalkan kedudukan di tempat ketiga, sambil menambah, “Kami semua tahu dia sudah buat yang terbaik.”

Sementara itu, kakak Mohd Hafiz, Nor Shaziela, 30 tahun berasa agak terkilan apabila hasrat anak ketiga daripada empat beradik itu untuk membawa ibu bapa mereka menunaikan umrah, pada Januari depan tidak kesampaian.

Kredit : Sinar Harian

Nor Shaziela berkata, “Sebelum perlumbaan, arwah sudah beberapa kali berkata mahu menunaikan umrah bersama dan sudah membuat persiapan. Dia cakap selepas selesai semua ini, perkara pertama yang dia hendak buat ialah pergi menunaikan umrah dan membawa bersama mak dan ayah, itu memang hajat dia.”

Mohd Hafiz baru sahaja tamat daripada menjalani latihan amali dan sepatutnya akan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) di Politeknik Ungku Omar di Ipoh pada sesi hadapan.

Kredit : Sinar Harian

Pelumba CP150 yang baru berusia 22 tahun ini berjaya mencuri tumpuan apabila memulakan perlumbaan dalam kejuaraan motosikal tersebut di petak pertama. Bagaimanapun, pada pusingan terakhir perlumbaan, berlaku insiden kemalangan yang telah meragut nyawanya.

Sumber : Sinar Harian, Astro Awani

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL SUKAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds