LONDON – Kesemua ahli panel dalam Tribunal China yang bebas secara sebulat suara tanpa keraguan munasabah memutuskan di dalam penghakiman interim bahawa penuaian organ secara paksa telah dilakukan ke atas tahanan politik, agama dan kepercayaan di kem tahanan dan penjara di China “atas skala yang besar”.

Penghakiman interim yang masih diperingkat draf, telah diputuskan secara luar biasa untuk Tribunal China pada 10 Disember, dengan harapan keputusan ini akan dapat menghentikan penganiayaan ke atas banyak nyawa yang tidak bersalah di China.

Ahli panel Tribunal, dari kiri ke kanan, Ahli Sejarah Amerika Syarikat, Profesor Arthur Waldron, peguam dari Malaysia, Andrew Khoo, Pakar Bedah Cardiothoracic, Profesor Martin Elliot, Pengerusi, Sir Geoffrey Nice QC, ahli perniagaan Nicholas Vetch, Peguam Hak Asasi, Shadi Sadir dan peguam dari Amerika Syarikat, Regina Paulose di London pada 8 Disember, 2018 (Kredit : Justin Palmer).

Pengerusi Tribunal China, Sir Geoffrey Nice QC, yang pernah mengetuai pasukan pendakwaan Tribunal Antarabangsa ke atas bekas pemimpin Yugoslavia, Slobodan Miloševic berkata, “Sebaran udara publisiti ini mungkin membolehkan sebaran udara sebenar kepada kelangsungan kehidupan ke atas mereka yang mungkin sepatutnya telah dibunuh.”

Penghakiman terakhir dijangka akan ditetapkan pada musim bunga dalam bulan April atau Mei tahun hadapan, dan akan membentangkan beberapa set perincian kesalahan jenayah antarabangsa yang telah dilakukan, siapa dalangnya, dan jumlah angka penuaian organ secara paksa ke atas kesemua mangsa yang terlibat.

Sehingga kini, penyerahan bukti dan keterangan masih terbuka kepada sesiapa yang mahu menampilkan diri, begitu juga jemputan telah dikemukakan kepada rejim kerajaan China untuk mengambil bahagian di dalam prosiding, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang respon yang diberikan oleh pihak China.

Keterangan penuh emosi dan menyakitkan.

Saksi Liu Huiqiong memberitahu Tribunal yang beliau telah ditahan di China, diseksa dan menjalani pemeriksaan fizikal. Keterangannya telah dirakam menerusi video di London pada 8 Disember, 2018 (Kredit : Justin Palmer)

Pendengaran awam bagi Tribunal China telah bermula pada 8 Disember 2018 dan akan berlangsung selama tiga hari, dengan 30 orang saksi, termasuk para pelarian dari China, para penyiasat dan doktor akan hadir memberi bukti dan keterangan.

Peguam Tribunal, Hamid Sabi berkata, “Pertuduhan dikemukakan oleh beberapa kumpulan termasuk pengamal Falun Gong, etnik Uyghur, penganut agama Kristian dan Buddha, yang telah dibawa ke kem tahanan dan penjara sebagai tahanan, telah diperiksa secara biasa sama ada mereka berada dalam keadaan yang sihat, dan kemudian, apabila tiba masanya, organ mereka akan dituai atau diambil secara paksa. Ada yang berkata, mereka tidak diberikan ubat pelali, dalam keadaan masih hidup yang amat mengerikan dan kejam. Organ secara segera dipindahkan kepada penerima organ lain yang sudah menunggu.”

Peguam bagi Tribunal, Hamid Sabi pada hari pertama pendengaran di London pada 8 Disember, 2018 (Kredit : Justin Palmer)

Terdapat beberapa orang saksi yang mengingati pengalaman ngeri mereka dan menceritakannya kembali dalam pendengaran tersebut, sambil hadirin yang mendengar tidak dapat menahan kesedihan. Beberapa orang pelarian yang dapat melarikan diri daripada penganiayaan di China berkata mereka ditahan, diseksa dan diarah menjalani pemeriksaan dan ujian kesihatan.

Salah seorang saksi memberi keterangan akan memori pahit telah diseksa, termasuk dirantai di atas lantai melebihi 10 jam, dikenakan renjatan elektrik, dan diberi makan secara paksa selama 58 hari. Kemudian, mangsa telah dicabuli secara seksual oleh banduan di dalam penjara, termasuk beberapa orang anggota polis.

Saksi Dai Ying memberitahu Tribunal, bagaimana beliau telah diseksa, semasa memberi keterangan di London pada 8 Disember, 2018 (Kredit : Justin Palmer)

Menurut saksi ini, “Saya juga menerima pemeriksaan fizikal, tetapi mereka kemudian menyedari keadaan saya yang berada di ambang kematian.”

Saksi ini mengamalkan latihan spiritual Falun Gong, yang mana para pengamalnya telah dianiayai secara kejam di China sejak tahun 1999.

Seorang lagi saksi menceritakan bagaimana beliau telah menjalani pemeriksaan X-ray bersama 50 orang pengamal Falun Gong yang lain semasa berada dalam tahanan, dan terdengar seorang doktor telah berkata, “Kesemua bahagian organ di dada pengamal Falun Gong ini amat bersih.”

Sumber utama penuaian organ berkait pengamal Falun Gong.

Laporan terkini dari ‘Freedom House’ mendapati ‘terdapat bukti yang boleh dipercayai dengan mencadangkan, bermula pada awal tahun 2000, tahanan yang merupakan pengamal Falun Gong telah dibunuh secara kejam untuk menuai organ mereka pada skala yang besar.”

Laporan ini menambah, “Industri pemindahan organ di China kekal berkembang pesat, walaupun jumlah tahanan penjara yang dijatuhi hukuman di mahkamah mengalami penurunan sejak beberapa dekad.”

Peguam Hak Asasi, David Matas memberi keterangan kepada Tribunal di De Vere Grand Connaught Room di London pada 8 Disember, 2018 ( Kredit : Justin Palmer )

Penyiasatan dan penyelidikan yang dilakukan oleh peguam hak asasi, David Matas, bersama Ethan Gutmann, calon Hadiah Nobel Keamanan, dan bekas Setiausaha Negara Kanada (Asia-Pasifik) David Kilgour mendapati sumber utama penuaian organ datang daripada pengamal Falun Gong, sementara etnik Uyghur, penganut agama Buddha Tibet dan penganut Kristian juga turut menjadi mangsa.

Trio ini mendedahkan laporan yang dikumpulkan pada tahun 2016 dengan memeriksa rekod awam yang dikeluarkan oleh 712 buah hospital di China yang telah membuat pembedahan pemindahan organ hati dan buah pinggang. Mereka mendapati jumlah sebenar pemindahan organ di China jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan dalam statistik rasmi yang dikeluarkan kerajaan iaitu antara 10,000 ke 20,000 kes setahun.

Tuntutan keadilan.

Pendengaran hari pertama Tribunal China di De Vere Grand Connaught di London pada 8 Disember, 2018 (Kredit : Justin Palmer

Tribunal China yang menyiasat secara bebas dianggotai oleh tujuh orang ahli panel, yang dipengerusikan oleh Sir Geoffrey Nice, yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang antarabangsa, serta bidang perubatan, perniagaan, perhubungan antarabangsa dan sejarah China.

Seorang pakar bedah berbangsa Uyghur bernama Enver Tohti memberi keterangan bagaimana beliau telah dipaksa mengeluarkan organ daripada seorang tahanan yang masih hidup di China pada tahun 1995, atas arahan pegawai atasan yang menyelianya.

Enver Tohti semasa memberi keterangan berkata, “Dalam kes ini, kita boleh katakan ia sebagai terlalu buruk untuk menyatakan ia adalah benar. Saya berharap keterangan ini memberi satu mesej yang serius kepada pemimpin China, perkara yang anda lakukan kepada rakyat anda. Hitler pernah mencubanya. Jadi jangan mencubanya, kerana pada suatu hari, anda akan berada di mahkamah ini untuk menerima perbicaraan.”

Peguam Tribunal, Hamid Sabi dan Pengerusi Tribunal, Sir Geoffrey Nice QC pada hari pertama pendengaran di London pada 8 Disember, 2018 (Kredit : Justin Palmer )

Tribunal rakyat adalah satu tribunal bersifat bebas yang diwujudkan bagi memberi pembelaan kepada mangsa jenayah serius, apabila badan antarabangsa tidak berupaya menyiasat aduan dan isu dalam negara yang berbangkit.

Oleh kerana kebanyakan kes yang dibawa ke luar negara tidak mempunyai kuasa menurut undang-undang, tetapi bukti berdasarkan rekod dan keterangan mampu memberi tekanan kepada badan antarabangsa, juga menyebarkan kesedaran di kalangan orang awam.

Salah satu cabaran utama dalam mengumpul bukti yang sahih ialah kebanyakan mangsa telah meninggal dunia dalam proses organ mereka dituai dan diambil secara paksa, serta kebanyakan mayat mangsa kemudian dilupuskan di tempat pembakaran. Tambah menyukarkan, apabila saksi kepada kejadian jenayah iaitu para doktor dan pengamal perubatan profesional biasanya adalah pelaku itu sendiri dan mereka tidak mungkin akan tampil ke hadapan memberi keterangan.

Lihat rakaman video kenyataan penutup dan draf penghakiman interim oleh Sir Geoffrey Nice di bawah.

Kredit : End Transplant Abuse / YouTube

Sumber : End Transplant Abuse/YouTube , China Tribunal , The Epoch Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular

Ad will display in 09 seconds