Seorang guru pendidikan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti 2 di Johor Bahru, Muhamad Khairul Anuar Hussin mewakili guru Malaysia apabila disenarai pendek bagi anugerah ‘Varkey Foundation Global Teacher Prize’ (GTP) yang menawarkan hadiah bernilai RM4.18 juta (USD1 juta).

Muhamad Khairul Anuar merupakan satu-satunya calon guru dari Malaysia bagi anugerah tersebut bagi edisi tahun 2019. Beliau antara 50 orang guru di seluruh dunia yang terpilih untuk disenarai pendek selepas saringan 10,000 pencalonan dan pemohonan guru dari 179 buah negara.

Kredit :  Global Teacher Prize

Menurut laman sesawang GTP, anugerah tahunan menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM4.18 juta (USD1 juta) kepada ‘guru luar biasa yang telah menyumbang dengan pencapaian tertinggi dalam profesion mereka’, dengan menjadi ‘juara perubahan’ dalam mendidik para pelajar dan komuniti sekelilling.

Muhamad Khairul Anuar terkenal dengan usaha dan dedikasinya sebagai seorang guru yang berjaya mendidik para pelajar dengan keperluan khas dan kelainan upaya seperti pelajar pekak dan bisu, autisme dan Sindrom Down. Pendekatan pembelajaran yang diterapkan kepada para pelajar dengan keperluan khas ini amat berbeza kerana beliau melibatkan kaedah pembelajaran dalam dan juga di luar kelas, dengan tumpuan pembelajaran seumur hidup.

Kredit :  Varkey Foundation

Dalam profail di laman pencalonan, Khairul Anuar berusaha membantu para pelajarnya dengan menyediakan sumber yang istimewa dan khas serta membangunkan kemahiran integrasi sosial mereka semasa berada di sekolah.

Selepas menyedari para pelajar ini kurang mendapat sokongan dengan sumber yang terhad dan tidak sesuai dengan diri mereka, Khairul Anuar memikirkan formula dan pendekatan bagi mengenal pasti kekurangan para pelajar dengan keperluan khas sebelum mereka memasuki alam persekolahan bagi memastikan keluarga mereka mendapat sokongan dan bantuan sejak di peringkat awal.

Kredit : theSundaily

Yayasan ini berkata Model Pendidikan Inklusif yang dirangka dan dibentangkan oleh Khairul Anuar, menekankan kepentingan inklusi sosial dan pendidikan bersama dengan para pelajar yang terbabit, kini telah digunakan secara asas sebagai panduan dan polisi pembelajaran pendidikan khas Kementerian Pendidikan Malaysia.

Khairul Anuar juga menyelaras Forum Pendidikan Khas bagi menyediakan modul kepada para pendidik yang akan menggunakan model yang diciptanya untuk dipraktik kepada para pelajar mereka, dan beliau pernah mewakili Malaysia di persidangan ‘JENESYS East Asia Future Leaders Program Social Welfare Group’ di Jepun pada tahun 2011.

10 finalis guru luar biasa dari seluruh dunia akan ditentukan oleh para juri GTP, dan akan diumumkan pada bulan Februari 2019.

Kredit :  Global Teacher Prize

Kesemua 10 finalis akan menerima undangan menghadiri upacara penganugerahan dalam Forum Pendidikan dan Kemahiran Global pada 24 Mac 2019 di Dubai, di mana pemenangnya akan diumumkan secara langsung di atas pentas.

Pemenang ‘Global Teacher Prize’ pada tahun 2018 ialah Andria Zafirakou, seorang guru pendidikan seni dan tekstil dari United Kingdom. Menurut Andria dalam laman GTP, “Tiada kerja yang paling baik dan mulia melainkan menjadi guru. Adakah profesion lain yang membenarkan anda menjadi tidak mementingkan diri dan berdedikasi sepenuhnya dalam merangka peluang yang tepat kepada orang lain untuk mencapai kejayaan?”

Kredit :  Global Teacher Prize

Semoga Muhamad Khairul Anuar Hussin akan tersenarai di kalangan 10 Finalis kelak. Selamat Maju Jaya!

Sumber : SAYS

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds