Pada 9 Disember, satu laporan media di United Kingdom telah membuat pendedahan mengenai syarikat pembekal sarung tangan terbesar di dunia dan majikan terbesar di Malaysia, Top Glove Corp Berhad bersama sebuah lagi syarikat pembuat sarung tangan, WRP yang telah menarik perhatian dunia apabila kedua-dua syarikat ini telah dituduh mengamalkan paksaan kerja lebih masa, menahan gaji, membeban hutang serta merampas pasport ke atas pekerja asing yang bekerja di kilang-kilang syarikat tersebut.

Laporan The Guardian telah membuat pendedahan dengan menemuramah 16 orang pekerja asing dari Top Glove yang berasal dari Bangladesh dan Nepal, dan 3 orang pekerja asing dari WRP. Kesemua pekerja asing ini telah mendedahkan persekitaran pekerjaan mereka di dalam kilang tersebut sebagai ‘satu penyeksaan mental’.

Kredit : The Guardian

Menurut kenyataan pekerja yang tidak mahu nama mereka didedahkan, pekerja di Top Glove terpaksa bekerja sekurang-kurangnya 12 jam sehari, 7 hari seminggu dan hanya dibenarkan bercuti sebanyak satu hari dalam sebulan. Persekitaran dan keselamatan pekerjaan juga dikatakan tidak selamat kerana dilaporkan terdapat kemalangan di tempat kerja menyebabkan pekerja tercedera dan kehilangan anggota badan.

Pekerja asing tersebut juga memberitahu bahawa mereka diarah dan dipaksa menyerahkan pasport kepada majikan, dengan tiada peluang untuk mengakses kepadanya walaupun dengan permintaan. Adalah menyalahi undang-undang apabila seorang majikan memegang pasport pekerja, dan ia juga merupakan salah satu bentuk eksploitasi terhadap hak orang lain.

Kredit : FMT

Dalam pada itu, pihak Top Glove juga telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung dakwaan tersebut dengan menekankan keadaan persekitaran pekerjaan dan mengakui para pekerja sememangnya bekerja lebih masa menurut keperluan operasi dan peraturan yang ditetapkan. Akan tetapi, pihak pengurusan telah menafikan bahawa hak para pekerja ini telah dicabuli.

Kenyataan oleh Top Glove menyebut, “Masa bekerja yang panjang sentiasa menjadi perhatian utama buat kami, dan kami akan terus mencari jalan dengan sebaik mungkin dalam menangani isu kerja lebih masa secara berlebihan. Kami akan memastikan segala dakwaan ini adalah tidak berasas dan tuduhan yang dibuat boleh menjatuhkan reputasi dan nama baik kami.”

Kredit : The Guardian

Menurut Top Glove lagi, “Top Glove mengamalkan polisi tidak akan bertolak ansur dengan pencabulan hak asasi dalam segala peringkat. Hakikatnya, pihak kami turut menekankan hak pekerja dan inisiatif kesihatan melebihi pemain industri pembuatan sarung tangan yang sederhana.”

Sementara itu, tiga orang pekerja asing di WRP mendakwa mereka tidak dibenarkan meninggalkan kilang pada hari Ahad. Pekerja ini telah ditemuramah di belakang pagar kilang oleh media terbabit. Mereka turut mendakwa gaji mereka tidak dibayar dan ditahan selama tiga bulan. Salah seorang pekerja syarikat itu menambah ribuan pekerja tidak menerima gaji selama beberapa bulan.

Kredit : YouTube

WRP dalam pada itu telah menafikan dakwaan dan tuduhan terbabit. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Son Hong memanggilnya sebagai tidak berasas dengan berkata, “Kami terkejut dengan isu yang ditimbulkan berkenaan menahan gaji dan membayar gaji sekali dalam masa tiga bulan. Pihak kami membayar gaji bulanan menurut peruntukan sah Akta Pekerja Malaysia.”

Beliau juga menambah, WRP juga tidak menahan atau menyimpan mana-mana pasport pekerjanya secara paksa, sebaliknya ada pekerja yang mahu majikan mereka menyimpankan pasport mereka bagi tujuan keselamatan dalam loker khas yang boleh diakses.

Manakala, Top Glove dalam kenyataannya berkata mereka menyimpan pasport para pekerja bagi tujuan keselamatan dan ia termaktub dalam borang persetujuan yang ditandatangani pekerja.

Kredit : The Star

Berdasarkan slip gaji yang ditunjukkan, rata-rata pekerja berkerja antara 120 hingga 160 jam untuk kerja lebih masa dalam sebulan. Gaji asas yang tertera ialah RM1,000 sebulan, dan mereka hanya menerima bayaran kerja lebih masa secara berganda apabila mereka bekerja 12 jam sehari pada hari Ahad. Menurut Akta Pekerja 1955, jumlah jam untuk kerja lebih masa maksimum ialah 104 jam sebulan.

Dengan pendedahan yang mengejutkan, pihak yang berkenaan di United Kingdom akan menyiasat Top Glove yang menjadi pengeluar serta pembekal utama sarung tangan kepada NHS (National Health Service) di United Kingdom.

Dalam satu kenyataan terbaru oleh Bernama, Kementerian Sumber Manusia telah mengeluarkan kenyataan apabila mendapati tiada unsur paksaan ke atas pekerja asing di Top Glove. Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran berkata pemeriksaan yang dilakukan oleh para pegawainya di semua kilang milik syarikat itu di seluruh negara mendapati pekerja asing melakukan kerja lebih masa secara sukarela kerana mahu meraih pendapatan lebih untuk dihantar ke negara masing-masing.

Kredit : Projek MM

M. Kulasegaran berkata demikian dalam satu sidang media ketika melakukan lawatan dan membuat pemeriksaan sendiri di kilang milik Top Glove di Kawasan Perindustrian Meru di Klang pada 10 Disember. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Jeffrey Joakim, Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai dan Pengarah Eksekutif Top Glove, Lim Cheong Guan.

M.Kulasegaran juga mendapati segala dakwaan yang ditulis dalam laporan media terbabit adalah tidak benar, sambil berkata beliau mengalu-alukan siasatan secara rasmi yang akan dibuat dengan kerjasama antara kerajaan United Kingdom dan Malaysia berhubung dakwaan yang dibangkitkan.

Saham Top Glove jatuh menjunam selepas laporan The Guardian disiarkan dengan susut 5.93 peratus atau 33 sen kepada RM5.57 dengan 1.2 juta saham bertukar tangan.

Kredit : Bernama

Sementara itu, pihak Top Glove juga membetulkan beberapa kesilapan fakta yang telah dilaporkan oleh The Guardian dalam sidang media tersebut termasuk laporan keuntungan RM5.29 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu adalah tidak tepat, sebaliknya mereka hanya mencatat keuntungan kira-kira RM450 juta, dan United Kingdom hanya menyumbang 0.5 peratus jualan kepada Top Glove.

Top Glove juga meluahkan rasa kesal dengan laporan berkenaan yang disifatkan tidak bertanggungjawab. Pihak mereka bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak dari dalam dan luar negara berkenanan siasatan ke atas syarikat itu sekiranya mereka melanggar apa-apa peraturan termasuk melanggar hak asasi manusia.

Sumber : BernamaThe Guardian, Projek MM , World of Buzz

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds