SEOUL – Seorang maut dan 25 orang awam yang lain cedera apabila saluran paip air panas bawah tanah telah meletup pada 4 Disember. Kejadian berlaku berdekatan Stesen Kereta Api Bawah Tanah Baekseok di Seoul pada jam 8.41 malam waktu tempatan, apabila tekanan tinggi pada wap air panas mengalami kebocoran lalu menyebabkan letupan.

Saluran paip air panas yang membekalkan air panas kepada kompleks pangsapuri sekitar Goyang, Seoul dikatakan telah berusia 27 tahun dan kejadian berpunca daripada keretakan pada paip lama tersebut sehingga menyebabkan wap pada air panas mengalami tekanan lalu menyebabkan letupan dan mengeluarkan air dan wap yang panas.

Kredit : Yonhap

Menurut kenyataan seorang pegawai kerajaan tempatan bandar Goyang, “Punca letupan disyaki bermula dari bahagian kimpalan paip yang sudah uzur dan terhakis kerana sudah digunakan buat sekian lama dan letupan berlaku kerana saluran paip air panas yang lama ini sudah tidak lagi dapat menampung tekanan yang kuat.”

Menurut jurucakap pihak berkuasa, seorang warga emas berusia 68 tahun bernama Sohn didapati telah meninggal dunia di tempat kejadian apabila wap panas telah memasuki van mininya sehingga menyebabkan keseluruhan badannya telah melecur dengan teruk. Ketika kejadian, Sohn dalam perjalanan pulang daripada menghadiri makan malam bersama anak perempuan dan bakal menantunya.

Kredit : Yonhap

Dua orang yang lain mengalami kecederaan yang kritikal, manakala 23 mangsa yang lain telah ditempatkan di hospital berhampiran bagi menjalani rawatan lanjut akibat melecur. Kebanyakan mangsa mengalami lecuran di bahagian kaki kerana terkena wap dan air panas yang membanjiri ruang pejalan kaki dan jalan raya.

Seorang lelaki bernama Park yang berada berhampiran tempat kejadian berkata, “Orang ramai yang sedang menyeberang jalan menjerit kesakitan apabila tiba-tiba kaki mereka melecur kerana terkena wap panas yang memenuhi jalan dari bawah.”

Kredit : Yonhap

Sistem paip air panas tersebut membekalkan air panas kepada 2,800 kediaman di Baekseok, Madu dan Haengsin di Goyang. Walaupun bekalan air panas telah dibekalkan semula pada 5 Disember, kerja-kerja membaik pulih kebocoran saluran paip tersebut dijangka mengambil masa selama empat ke lima hari.

Dalam pada itu menerusi halaman Twitter, Perdana Menteri Korea Selatan, Lee Nak-yon telah meminta maaf kepada semua mangsa yang terlibat dan mengarahkan kerja membaik pulih paip air panas yang terlibat diselesaikan pada kadar segera.

Sumber : The Korea Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds