Seorang remaja lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika sedang tidur akibat renjatan elektrik yang berpunca dari fon telinga yang dihubungkan dengan telefon bimbit yang sedang dicas di rumahnya di Kampung Gaing Baru Pedas, Rembau, Negeri Sembilan pada 3 Disember.

Mohd Aidi Azzhar Zahrin, 16, disedari telah meninggal dunia oleh ibunya pada jam 12.45 tengah hari selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Gambar sekadar hiasan.

Harian Metro melaporkan bahawa mangsa didapati tidur di atas lantai bilik tidur dan tidak berubah posisi sejak dari pagi. Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, ibu mangsa pulang ke rumah untuk makan tengah hari bersama anaknya kerana berasa tidak sedap hati.

“Sebelum keluar jam 7.45 pagi untuk pergi kerja, wanita berkenaan yang berusia 51 tahun melihat mangsa dalam keadaan tertiarap di lantai bilik tidur dan menyangkanya masih tidur.

“Tetapi, apabila pulang ke rumah untuk makan tengahari, mangsa dilihat masih berada dalam posisi sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, wanita itu cuba untuk mengejutkan mangsa, tetapi mangsa tidak memberikan sebarang tindakan dan mendapati badannya sudah sejuk.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Alamy

Pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia selama beberapa jam.

“Pemeriksaan pada fizikal mangsa tiada kesan lebam atau luka kecederaan melainkan di telinga sebelah kirinya ada kesan darah.

“Ketika itu mangsa sedang memakai fon telinga dan telefon bimbitnya yang berada bersebelahan telinganya sedang dicas,” kata Anuar Bakri.

Laporan bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Tuanku Jaafar Seremban mendapati bahawa punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh renjatan elektrik.

Sumber: SAYS , Sinar Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds