Mula dikenali dan digelar anak genius pada usia 6 tahun, Adi Putra Abdul Ghani mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa pada tahun 2005, kerana kepintarannya menyelesaikan masalah matematik yang sukar dan rumit dalam jangka masa yang singkat.

Malang buat Adi Putra, pencapaian akademik yang cemerlang tidak pernah dikecapi dan selepas berhenti dari menghabiskan pengajian A-Level di Kolej Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2009, Adi Putra menyepikan diri. Sehingga kini, Adi Putra tidak memiliki sijil sah biasa seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun kelayakan A-Level yang sepatut diselesaikan semasa di UIAM.

Kredit : Syathibi

Kini Adi Putra, remaja yang berusia 19 tahun, berkata sistem pendidikan tempatan telah gagal melonjakkan dirinya dalam pembelajaran seperti mana yang dicita-citakan. Andaian yang dibuat berdasarkan bakat semula jadinya sebagai seorang anak genius dan cemerlang dalam pelajaran ternyata jauh meleset sama sekali.

Menurut The Star, Adi Putra kini menyara kehidupan dengan bekerja sambilan sebagai pensyarah jemputan di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak, dan sering melakukan jelajahan di seluruh negara dengan mengajar Matematik kepada para pelajar yang berminat menerusi program matematik ciptaannya, ‘Adimatik’.

Kredit : Orang Perak

Dengan anugerah Tuhan dan kurniaan bakat semula jadi dalam bidang matematik, tanpa mempunyai apa-apa kelayakan akademik secara sah, Adi Putra masih menyatakan harapan dan cuba mencari jalan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di samping tidak mahu mensia-siakan bakatnya.

Walau bagaimanapun, Adi Putra mendakwa sistem pendidikan tempatan yang disediakan untuknya semasa beliau melanjutkan pengajian di UIAM dan di sekolah semasa berusia 9 tahun dirasakan amat membebankan dan terlalu berat.

Semasa mengambil A-Level pada tahun 2009, Adi Putra telah gagal mengikuti modul pembelajaran yang ditetapkan apabila dibebani dengan terlalu banyak subjek yang terpaksa diambil seperti Fizik, Biologi, Kimia, Matematik dan Matematik Tambahan disamping 10 subjek lain di sekolah, semua ketika usianya baru memasuki 9 tahun.

Kredit : Orang Perak

Katanya, “Sistem pendidikan negara telah menggagalkan saya kerana disamping terpaksa menghadiri kelas di sekolah dan kuliah di universiti, saya dibebani dengan banyak tugasan yang perlu diselesaikan mengikut tempoh tertentu.”

Akhirnya, Adi Putra berhenti dan memilih untuk mendapat pendidikan secara persendirian.

Oleh itu, menurut Adi Putra, anak genius dan berbakat perlu diberikan kebebasan dan jalan yang berbeza dari sistem pendidikan kebangsaan yang biasa, atas alasan ia mungkin terlalu menekan, menghimpit atau mengehadkan pemikiran mereka yang berbeza.

Kredit : The Star

Jelas Adi Putra, “Sistem pendidikan di negara ini memberi syarat semua pelajar wajib menyelesaikan pembelajaran di sekolah dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum mereka boleh diiktiraf memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi untuk meneruskan pengajian lebih tinggi.”

“Peraturan dan jenis sistem seperti ini mengehadkan pembangunan kognitif anak genius dan berbakat kerana mereka langsung tidak diberikan ruang dan peluang untuk meneroka potensi diri. Akhirnya bakat mereka terbiar dan tidak ke mana.”

Adi Putra turut menyatakan kesanggupan untuk membantu kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini dengan menyediakan satu modul pembangunan pendidikan yang khas dan khusus untuk anak-anak genius dan berbakat.

Sumber : The Star , Kosmo , World of Buzz

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL Pendidikan

Video Popular

Ad will display in 09 seconds