PETALING JAYA – Bermula 1 Januari 2019, perkhidmatan tren Skypark Link yang membuat perjalanan sehala dari stesen KL Sentral ke Terminal Skypark di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang ditetapkan pada harga tambang sebanyak RM11.

Kredit: Malay Mail

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, perkhidmatan pengendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dimulakan pada bulan Mei lalu telah menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada pengguna sehingga 31 Disember ini sahaja.

“Kadar tambang ini mendapat kelulusan Kabinet. Kerajaan tidak boleh memberikan perkhidmatan percuma selama-lamanya kerana kerajaan memerlukan pulangan keuntungan semula menerusi bayaran tambang tren ini untuk digunakan dalam penambahbaikan sistem pengangkutan awam dari semasa ke semasa.”

Kredit: Rail Malaysia

Tambah Anthony lagi, kadar tambang perjalanan sehala bagi pengguna yang menggunakan kad Touch ‘n Go adalah sebanyak RM10 manakala pengguna warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) pula akan diberikan potongan diskaun sebanyak 50%.

“Saya telah meminta pihak KTMB meningkatkan promosi perkhidmatan tren Skypark ini menerusi kempen pengiklanan dan pemasaran serta mengadakan rundingan dengan syarikat penerbangan yang menggunakan LTSAAS untuk menggalakkan penumpang mereka menggunakan perkhidmatan tren ini dengan menawarkan tambang harga yang berpatutan.”

Kredit: Malaysia Gazette

Sehingga kini, jumlah sebenar kos bagi projek pembinaan landasan keretapi Skypark itu mencecah sehingga RM500 juta dan kerajaan belum bercadang untuk meneruskan projek sambungan laluan ke Sungai Buloh. Bagaimanapun, Anthony memaklumkan bahawa perkara itu akan diusulkan dan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Kredit: mStar

Sementara itu, kementerian turut bercadang untuk membina sebuah jejantas pejalan kaki yang mempunyai kemudahan seperti penghawa dingin dan laluan pejalan kaki bergerak dari Terminal Skypark ke LTSAAS pada masa hadapan.

“Jejantas pejalan kaki itu akan dibina dan diuruskan oleh syarikat yang mengendalikan LTSAAS,” ujar Anthony.

Sumber: BernamaMalay Mail

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds