Kita sudah sedia maklum akan kebaikan susu – mengandungi kalsium dan sumber vitamin A, B12, riboflavin, fosforus dan zat besi! Hal ini membuatkan susu menjadi pilihan bukan sahaja buat anak kecil, bahkan untuk orang dewasa juga. Bagi memenuhi keperluan tubuh badan setiap individu, maka tidak hairanlah terdapat banyak jenis produk susu yang dikeluarkan di pasaran.

Tetapi adakah anda betul-betul cakna akan perbezaan setiap jenis susu yang dikeluarkan? Jika anda perasan, terdapat susu segar, penuh krim, kurang lemak, susu skim, UHT, susu tepung dan pelbagai lagi. Persoalannya, apakah perbezaannya?

#1 Susu segar (Fresh Milk)

Kredit: Shopee Malaysia

Susu jenis ini telah melalui proses pempasteuran bagi menjamin keselamatan pengguna. Ia melibatkan proses pemanasan melebihi hingga 72℃ selama 15 saat bagi membunuh bakteria pada susu. Ia boleh didapati pada bahagian sejuk di pasaraya dan lazimnya mempunyai tarikh luput yang agak cepat – kurang daripada seminggu. Sungguhpun begitu, ia memiliki sumber nutrisi yang baik!

#2 Susu penuh krim (Full Cream Milk)

Kredit: Tesco Groceries

Ia mengandungi peratusan lemak tertinggi – puratanya sebanyak 3.8%. Ekoran lemak yang banyak, tidak hairanlah susu ini mempunyai rasa yang lebih enak dan berkrim. Sebenarnya, susu jenis ini baik untuk anak kecil kerana mengandungi asid lemak yang berupaya membantu perkembangan tubuh badan anak-anak. Selain itu juga, susu jenis ini sesuai untuk dicampurkan dengan minuman lain seperti teh dan kopi.

#3 Susu rendah lemak (Low fat Milk)

Kredit: RedMart

Seperti namanya, ia mengandungi kurang lemak iaitu sekadar 1.3 hingga 1.4% sahaja. Susu jenis ini lebih sesuai dan sering dipilih oleh mereka yang sedang dalam usaha untuk mengurangkan berat badan. Hal ini kerana ia mampu membantu mengurangkan kadar lemak tepu di dalam badan.

#4 Susu skim (Skim Milk)

Kredit: Mydin

Mungkin anda pernah dengar tetapi tidak mengetahui akannya secara terperinci. Ia mengandungi jumlah lemah terendah berbanding susu kurang lemak dan penuh krim iaitu 0.15% sahaja. Ia agak cair namun tetap memiliki protein dan kalsium yang sama seperti susu biasa.

#5 Susu UHT (Ultra High Temperature)

Kredit: Redtick

Susu ini telah menjalani proses pemanasan jauh lebih tinggi suhunya berbanding dengan susu segar iaitu pada takat 135℃ selama 1-2 saat untuk pensterilan. Ia lazimnya didapati dalam bentuk kotak dan boleh bertahan sehingga 5-10 bulan jika tidak membukanya. Selain itu, terdapat juga susu UHT yang dihasilkan melalui proses campuran semula (recombined milk) di mana susu akan dikeringkan menjadi pepejal, diasingkan kepada serbuk lemak sebelum dicampur semula serta dirawat.

#6 Susu tepung

Kredit: Astro Awani

Ia diperbuat daripada serbuk daripada susu susu segar yang telah menjalani proses pengeringan agar mudah disimpan dan dibawa ke mana-mana, selain tahan lebih lama. Susu tepung lazimnya ditambah dengan zat, vitamin dan mineral bagi meningkatkan kualiti. Untuk susu formula pula, ia ditambah dengan formulasi yang sesuai dengan peringkat usia bayi misalnya asid ‘docosahexaenoic’ (DHA) dan asid ‘aracidonic’ (ARA/AA).

#7 Susu berperisa

Kredit: 100Comments

Ia merupakan susu yang dicampurkan dengan bahan-bahan seperti gula, perisa, pewarna dan kondisioner makanan yang dibenarkan. Oleh kerana ia berperisa, maka ia memiliki rasa yang lebih sedap namun anda harus berhati-hati akan kandungan gulanya ya. Harus diingatkan juga banyak gelaran buat gula ‘tersembunyi’ seperti sukrosa, pepejal sirap glukosa, maltodekstrin, pepejal sirap jagung, sukrosa, dekstrosa, dan pelbagai lagi nama saintifiknya yang sangat mengelirukan.

Sumber: Sirap Limau

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds