Para guru memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan semua orang. Mereka merupakan insan yang sudi berkongsi ilmu dan pengetahuan semenjak kita bersekolah tadika hinggalah mencapai usia 17 tahun. Itu tidak termasuk buat mereka yang bersekolah hingga ke tingkatan enam. Amat membanggakan apabila usaha guru-guru kita akhirnya membolehkan mereka dilabel antara guru yang paling berdedikasi di dunia menerusi pemerhatian yang dibuat oleh Cambridge baru-baru ini.

Kredit: Malay Mail | K.E. Ooi

Menurut The Star, Global Education Census 2018 mededahkan bahawa para guru di Malaysia antara yang paling berdedikasi terutamanya dalam memastikan anak murid mereka cemerlang dalam aspek akademik. Selain daripada itu juga, sebanyak 70% guru di Malaysia yang berasa bahawa profesyen mereka ini sangat berbaloi. Kajian ini dijalankan oleh kumpulan pendidikan Cambridge Assessment International Education (Cambridge International), iaitu sebahagian daripada Universiti Cambridge.

Kredit:  The Star

Cambridge International berkata, “Selain itu, sebanyak 75% guru yang mengambil bahagian dalam kajian ini mengadakan kelas tambahan pada pelajar demi membantu pelajar cemerlang di dalam peperiksaan – ia merupakan peratusan tertinggi dalam keseluruhan negara yang terlibat dalam kajian berkenaan”. Bukan itu sahaja, kaedah latihan menerusi kertas peperiksaan tahun lepas terbukti merupakan pilihan guru-guru di Malaysia untuk mengulang kaji pelajaran.

Kredit: Malay Mail | Saw Siow Feng

Apabila ditanya berkaitan dengan ukuran tahap prestasi mereka, 84% daripada guru berkata bahawa mereka mengukur aspek berkenaan menerusi keputusan peperiksaan pelajar mereka, 40% pula berkata bahawa mereka melihat kepada berapa ramai pelajar mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi.

Untuk pengetahuan anda, Global Education Census merupakan penyelidikan komprehensif global pertama yang mengkaji kehidupan pelajar berusia 12 hingga 19 tahun di samping guru-guru mereka. Kumpulan ini mendapat data kajian daripada 10 buah negara seperti Argentina, China, India, Indonesia, Malaysia, Pakistan, Arab Saudi, Sepanyol, Afrika Selatan, dan Amerika Syarikat. Di Malaysia, seramai 477 orang pelajar dan 634 orang guru terlibat dengan kaji selidik tersebut.

Kredit: NST

Selain daripada itu, mereka juga turut mengumpulkan pandangan daripada 20,000 orang guru dan pelajar mengenai topik seperti amalan kelas terbaik, penggunaan bantuan pengajaran yang berkesan, penggunaan teknologi dalam pembelajaran, aktiviti kurikular tambahan, aspirasi pelajar, dan motivasi guru. Dr. Ben Schmidt, selaku pengarah serantau Cambridge Assessment International Education berkata, mereka mahu memahami pendidikan di seluruh dunia. Beliau menambah bahawa mereka berharap pendidik di Malaysia dapat menyampaikan pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar.

Sementara itu, ketua setiausaha National Union of the Teaching Profession (NUTP), Harry Tan berkata kajian terbabit menggambarkan pandangan terhadap tahap dedikasi guru-guru di Malaysia, “Guru kita sangat rajin tetapi sering diganggu dengan perkara-perkara lain. Jadi bagi mengekalkan fokus terhadap silibus, mereka mengadakan kelas tambahan. Sesetengah sekolah turut mengadakan kelas tambahan pada waktu malam sebelum Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berlansung.”

Tidak hairanlah guru di negara kita dikenali antara guru paling berdedikasi di dunia dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Sumber: World of Buzz, The Star

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL Pendidikan

Video Popular

Ad will display in 09 seconds