Ikan bilis enak dimakan jika dimasak kicap, dimasak sambal atau digoreng begitu sahaja. Namun pasti anda berhadapan dengan masalah sukar untuk mendapatkan ikan bilis yang rangup, tahan lama dan tidak liat bukan?

Usah risau lagi. Cuba anda ikuti 7 petua ini untuk mendapatkan ikan bilis yang rangup, tahan lama dan tidak liat.

1. Tos atau sangai selepas basuh ikan bilis

Ada beberapa orang berpendapat tidak perlu dibasuh ikan bilis dan ada juga yang berpendapat ikan bilis perlu dibasuh terlebih dahulu.

Terpulang kepada anda sama ada hendak membasuhnya atau tidak tetapi apa yang penting ikan bilis itu perlu ditos sehingga kering dan tidak berair.

Anda juga boleh menggunakan kaedah sangai untuk menghilangkan kandungan air yang terdapat dalam ikan bilis. Selepas itu bolehlah anda menggoreng ikan bilis tersebut di dalam minyak seperti biasa.

2. Renjis atau perap dengan menggunakan cuka

Caranya ialah, basuh ikan bilis dan toskan. Selepas itu, renjis ikan bilis tersebut dengan cuka sambil meratakannya.

Selain itu, anda juga boleh merendam ikan bilis di dalam cuka selama lebih kurang 5 minit sebelum menggorengnya. Anda tidak perlu khuatir kerana rasa ikan bilis tersebut tidak akan hilang.

Selapas itu bolehlah anda menggorengnya, pasti ikan bilis tersebut menjadi rangup!

3. Menggoreng ikan bilis bersama asam keping

Selain daripada menggunakan cuka, anda juga boleh menggoreng ikan bilis dengan meletakkan asam keping di dalam minyak. Ramai yang telah mencuba kaedah ini dan setuju bahawa ikan bilis goreng tersebut memang rangup. Cubalah!

4. Gaul ikan bilis dengan tepung sebelum menggoreng

Kredit: Kami Kongsi

Selepas membasuh ikan bilis, gaulkan dengan tepung beras atau tepung jagung. Kemudian, goreng ikan bilis tersebut.

5. Simpan ikan bilis di dalam peti sejuk sebelum menggoreng

Kredit: FriedChillies

Ada juga orang yang mengatakan ikan bilis yang telah dibasuh dan ditos tersebut perlu disimpan di dalam peti sejuk semalaman. Pada keesokkan harinya, keluarkan ikan bilis tersebut dan goreng seperti biasa.

6. Tunggu hingga minyak hilang buih

Kredit: zulfaza loves cooking

Ikan bilis goreng yang rangup memang menambahkan selera makan kita. Caranya ialah panaskan minyak terlebih dahulu dan goreng seperti biasa. Untuk mengetahui sama ada ikan bilis telah garing atau belum, tunggu sehingga minyak tersebut hilang buih.

Selepas itu, angkat ikan bilis goreng dan toskan dengan menggunakan tisu dapur. Jangan terus masukkan ke dalam bekas kerana ikan bilis goreng tersebut akan lemau. Oleh itu, tunggu sehingga ikan bilis goreng tersebut sejuk dahulu.

7. Jangan menyira ikan bilis goreng di atas api

Jika anda hendak membuat sambal ikan bilis, jangan sira ikan bilis tersebut di atas api. Maksudnya, tutup api dapur dan biarkan sambal tersebut suam atau sejuk, kemudian barulah anda masukkan ikan bilis goreng.

Selepas mengikuti 7 petua ini, anda pasti dapat ikan bilis goreng yang rangup, tahan lama dan tidak liat. Namun begitu, harus diingatkan bahawa pemilihan ikan bilis dan cara menyimpannya juga penting.

Belilah ikan goreng yang nipis dan berwarna putih dan elakkan daripada membeli ikan bilis yang berwarna hitam dan tebal. Apabila anda telah menggorengnya, tunggu sehingga sejuk dan barulah anda memasukkannya ke dalam bekas kedap udara.

Sumber: SirapLimau

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds