Pernahkah anda mengalami gusi berdarah? Seberapa kerap anda mengalami gusi berdarah?

Tidak dinafikan ada di antara kita yang tidak mengendahkan perihal gusi berdarah kerana perkara tersebut tidak kerap berlaku dan pendarahan akan berhenti dengan cepat selepas berkumur beberapa kali.

Namun anda seharusnya lebih peka akan kesihatan gigi dan gusi terutama apabila mengalami gusi berdarah kerana mungkin anda mengalami penyakit yang berkaitan dengan gigi dan gusi.

Berikut adalah 6 punca gusi berdarah dan cara untuk mencegahnya

1.Masalah Gingivitis

Masalah gingivitis wujud apabila gusi anda mengalami keradangan yang berpunca daripada bakteria yang terdapat pada plak dan kaviti di bahagian gigi.

Anda tidak perasan tentang kewujudan gingivitis kerana tidak berasa sakit dan tiada masalah lain. Namun apabila gusi anda kerap berdarah, berwaspadalah kerana gingivitis merupakan salah satu punca.

Jika tidak dirawat, gingivitis akan menyebabkan penyakit lain yang menyebabkan kerosakan tisu gusi dan gigi.

Oleh itu, untuk mengelakkan gusi berdarah dan mencegah gingivitis, anda perlu memberus gigi dan menjaganya dengan baik serta mendapatkan rawatan dari doktor gigi.

2. Anda seorang perokok

Perokok adalah orang yang berisiko untuk mengalami gusi berdarah. Menurut Peter Doig yang merupakan seorang doktor gigi, merokok cenderung menyebabkan peningkatan penyakit periodontal atas pelbagai sebab.

Asap rokok yang dihidu itu boleh menyebabkan toksin yang merengsakan pada gigi yang mana sukar dibuang dengan cara membersihkan mulut. Bukan itu sahaja, gusi akan menjadi teruk dan berdarah.

Oleh itu, berhenti merokok adalah cara yang bagus untuk mendapatkan gigi dan gusi yang sihat.

3. Tabiat pemakanan yang tidak sihat

Mengekalkan cara hidup yang sihat adalah perkara yang perlu dilakukan oleh setiap orang. Ini termasuklah tabiat pemakanan kerana kesannya bukan sahaja terhadap badan malah dapat dilihat pada gigi dan gusi.

Oleh itu, jaga tabiat pemakanan anda kerana secara tidak langsung dapat menjaga kesihatan gigi dan gusi.

4. Anda seorang wanita

Kenapa wanita? Ini kerana, perubahan hormon ketika wanita ‘datang bulan’ dan sewaktu mengandung boleh meningkatkan risiko untuk gusi berdarah.

Oleh itu, bagi wanita di luar sana, anda perlu bertemu dengan doktor sekiranya mengalami gusi berdarah sama ada ketika anda didatangi haid atau pun sedang mengandung.

5. Tabiat pembersihan gigi yang teruk

Jika anda menggosok gigi terlalu kuat, gusi akan mudah tercedera. Ini kerana gusi mempunyai tisu yang lembut dan sebarang tindakan keras ke atasnya boleh menyebabkan kecederaan seperti bengkak dan berdarah.

Pemilihan berus gigi juga penting namun jika anda tidak menggosok gigi secara berkala, tiada gunanya juga. Ini kerana, bakteria menggunakan plak dan sisa makanan yang terdapat pada mulut untuk menghasilkan asid yang boleh merosakkan gigi dan gusi.

Oleh itu, anda disarankan untuk menggosok gigi 2 kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur.

6. Mengambil ubat-ubatan

Pengambilan ubat-ubatan dan kesihatan gigi ada hubung kaitnya. Ini kerana sesetengah preskripsi ubat boleh meningkatkan risiko mengalami gusi berdarah dan mulut kering.

Menurut Dr. Peter Doig, mungkin terdapat lebih daripada 400 jenis ubat yang boleh menjejaskan jumlah saliva di mulut termasuk antihistamin, sedatif, anti-depresi dan anti-psikotik.

 

Sumber: Reader Digest , Siakap Keli

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds