Gara-gara resit bernilai RM3.70, sebuah plaza tol laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi sesak. Hal ini disebabkan oleh seorang pemandu teksi yang berang kerana tidak memperolehi resit transaksi pembayaran yang diperlukan olehnya untuk urusan pembayaran pelanggannya.

Kredit: Erin Sakura/Youtube

Berikutan hal ini, pemandu teksi yang tidak berpuas hati itu memutuskan untuk merakam perbualannya selama 5.02 minit. Walau bagaimanapun, malang buatnya apabila rakaman itu telah ‘memakan diri’ kerana rata-rata netizen menyalahkan pemandu tersebut kerana berdegil dan tidak bertimbang rasa dengan pengguna lebuh raya yang lain.

Walaupun sudah diterangkan tentang kaedah pengambilan resit secara atas talian yang baharu, namun pemandu teksi itu terus-terusan menunggu di plaza tol berkenaan dan tidak mahu berganjak selagi tidak diberikan resit kepadanya.

Tindakannya itu secara tidak langsung telah menyebabkan kesesakan trafik di lorong tol berkenaan, sehingga kedengaran bunyi hon dari beberapa kenderaan pengguna lebuh raya yang lain.

Kredit: Erin Sakura/Youtube

Setelah diterangkan beberapa kali oleh jurutol, pemandu teksi itu mempertikaikan kaedah pengambilan resit secara atas talian dan dipercayai kurang memahami sistem baharu yang diperkenalkan itu. Walaupun sudah diberikan kaedah alternatif yang boleh digunakan seperti kaedah ‘screen shot’ resit, namun pemandu itu tetap tidak mahu menerimanya.

Susulan itu, seorang lelaki dipercayai dari kenderaan belakang teksi itu tampil mendekati sebelum mengeluarkan RM4.00 bagi membayar untuk pihak pemandu teksi berkenaan. Lelaki itu juga sempat menyatakan bahawa sikap pemandu teksi itu telah menyebabkan jalan menjadi sesak dan meminta pemandu itu segera beredar.

Kaedah pengeluaran resit secara atas talian telah diperkenalkan oleh Plus Malaysia Berhad (Plus) bermula 19 Mac tahun ini melalui portal PLUSMiles ataupun portal Touch ‘n Go, demi usaha untuk mencapai matlamat pelaksanaan transaksi tol secara elektronik sepenuhnya.

Sumber: Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds