PETALING JAYA – Ahli geologi di Malaysia akan mengadakan lebih banyak perbincangan dan kerjasama serantau dalam membuat kajian terutama bersama pakar dari Indonesia untuk memahami bagaimana gempa bumi di Indonesia dan Filipina akan memberi kesan kepada Malaysia.

Pengarah Pusat Geokejuruteraan Tropika (Geotropik), Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Edy Tonnizam Mohamad berkata Malaysia mungkin akan merasai sedikit gegaran apabila Plat Sunda mengalami gelinciran dengan Plat Laut Filipina berdekatan Sabah dan Plat Indo-Australia di bahagian barat.

Kredit : Sinar Harian / Gambar Hiasan

Katanya, “Para penyelidik sedang membuat kajian pemetaan zon yang berpotensi dan berisiko menerima kesan gegaran atau gelombang gempa dan kereaktifannya di Malaysia. Gempa bumi yang berlaku di Malaysia adalah berbeza dari Indonesia kerana negara itu terletak berdekatan zon subduksi.”

Profesor Edy menjelaskan zon subduksi ialah kawasan terletaknya dua plat tektonik yang akan bergesel dan melanggar satu sama lain sehingga menyebabkan pertembungan lalu berlakunya gempa yang kuat.

Profesor Edy berkata, “Kita boleh meningkatkan pemahaman dan mempelajari bagaimana jalur subduksi dan gegaran gempa bumi serantau seperti yang berlaku di Indonesia akan memberi kesan kepada garisan gelinciran negara.”

Kredit : Sinar Harian / Gambar Hiasan

Baru-baru ini, gempa bumi yang melanda Sulawesi di Indonesia dengan magnitud 7.5 skala richter telah menyebabkan rantaian bencana tanah mencair akibat gegaran (liquefaction) dan tsunami yang mengorbankan lebih 2,000 penduduk dan lebih 5,000 mangsa yang masih hilang, serta kemusnahan harta benda yang dahsyat. Gempa bumi ini telah menimbulkan kebimbangan kemungkinan Malaysia juga turut akan menerima kesan gelombang gempa yang tidak dijangka walaupun berada di zon selamat.

Profesor Edy juga menjelaskan akan salah tanggapan bahawa aktiviti perlombongan, kuari dan pembinaan MRT bawah tanah boleh menyumbang kepada kejadian gempa bumi dengan berkata, “Semua aktiviti ini tidak akan menembusi ke dalam kerak bumi kerana ia lebih jauh ke dalam, lebih tebal dan keras.”

Sementara umum telah mengetahui gempa bumi berlaku di Sabah, fakta mengenai kejadian gempa bumi pernah berlaku di Semenanjung Malaysia juga perlu diketahui. Menurut Profesor Edy terdapat tujuh garisan gelinciran di Semenanjung Malaysia iaitu garisan gelinciran Bok Bak, Lebir, Terengganu, Bukit Tinggi, Kuala Lumpur, Lepar dan Mersing.

Kredit : The Star

Katanya, “Zon gelinciran seperti sendi di dalam badan kita, pergerakannya lebih mudah dan longgar berbanding tubuh badan kita yang pejal dan keras. Secara umum, garisan gelinciran di Semenanjung Malaysia adalah stabil, walaupun terdapat pergerakan dan gegaran paling kecil dan sederhana pernah direkodkan di beberapa lokasi.”

Gegaran pernah direkodkan di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia iaitu di Kuala Lumpur, Bukit Tinggi, Jerantut dan Baling dalam tempoh beberapa dekad yang lalu, dan gegaran yang dicatatkan tidak melebihi magnitud 4.0 skala Richter.

Gempa bumi terkuat pernah direkodkan di Malaysia ialah di Lahad Datu dengan magnitud 6.2 skala Richter pada tahun 1976, sementara gempa bumi di Ranau pada tahun 2015 mencatat magnitud 5.9 skala Richter yang telah mengorbankan 18 orang mangsa.

Kredit : Iluminasi / Gambar Hiasan

Seorang jurucakap dari Institut Geologi Malaysia berkata Malaysia akan merasai gempa bumi melalui dua sumber, iaitu pertama dikenali ‘gempa bumi kuat jarak jauh’ yang berpunca daripada gempa bumi kuat yang terjadi di Sumatera, Indonesia atau di Filipina. Dan kedua, sumber gempa bumi tempatan seperti gegaran yang pernah direkodkan di Tasik Kenyir, Terengganu dan di Sabah.

Katanya, “Tiada bukti terkini yang menunjukkan terdapat pergerakan dan kereaktifan garisan gelinciran di Semenanjung Malaysia. Bagi kejadian gempa bumi di Sabah seperti yang berlaku di Ranau dan Lahad Datu, pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Jabatan Meteorologi Malaysia sentiasa bekerjasama dan memantau sebarang pergerakan tanah yang berlaku.”

Tambahnya lagi, pihak berkuasa sentiasa mengambil langkah yang aktif serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku bencana gempa bumi.

Sumber : The Star

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds