Pada Isnin lalu 5 November, seorang pemilik motosikal jenis Yamaha R6 telah menjadi tular setelah memuat naik berita mengenai kehilangan motosikal miliknya itu di media sosial.

Menurut perkongsian tersebut, motosikal berkenaan dikatakan telah hilang akibat dicuri di kawasan perumahannya yang terletak di Damansara. Insiden mengejutkan itu hanya disedari oleh mangsa, Mohd Khairul Adli ketika dia ingin pergi bekerja.

Memetik kenyataan Khairul kepada NST“Selain daripada motosikal, kereta saya juga telah dipecah masuk dan pencuri telah melarikan beberapa barangan berharga seperti kaca mata hitam dan SmartTag. Saya syak pencuri telah menemui kunci pendua motosikal saya dan mencurinya.”

Bagaimanapun, apa yang lebih mengejutkan berlaku selepas itu adalah Khairul secara tiba-tiba menyedari ada dua nota kecil yang diselitkan pada tingkap keretanya kira-kira 24 jam selepas insiden kecurian itu.

Kredit: Facebook

Dalam nota yang ditulis dengan tangan berkenaan, pencuri yang menamakan dirinya sebagai Kaito telah meminta maaf kepada Khairul kerana mencuri motosikal miliknya. Ujar Kaito lagi, dia langsung tidak mempunyai niat jahat sebaliknya sekadar mahu merasa pengalaman menaiki motosikal jenis besar.

Dalam nota kedua, Kaito telah mendedahkan lokasi sebenar motosikal milik Khairul yang telah diletakkan di satu kawasan parkir motosikal di Empire Damansara dan sempat memohon maaf atas kelakuannya itu.

Kredit: Facebook

Jelas Khairul, setelah berjaya mendapatkan semula motosikalnya itu, dia tidak dapat menggambarkan betapa gembira dan bersyukurnya kerana berjaya menemui motosikal kesayangannya.

“Saya sangat sukakan motosikal itu dan saya membelinya kerana saya memang meminati motosikal berkuasa tinggi sejak kecil lagi. Jadi apabila ia hilang, saya sangat kecewa. Saya tidak gunakannya untuk berlumba dan sebagainya tetapi ia lebih sekadar hobi.”

Khairul bagaimanapun menegaskan bahawa dia telah memaafkan kelakuan pencuri berkenaan namun berharap agar pihak polis dapat memberkas pencuri itu bagi mengelakkan dia melakukan kesalahan jenayah yang sama pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din telah mengesahkan mengenai kejadian itu dan pihaknya masih lagi giat melakukan siasatan berdasarkan laporan yang telah dibuat oleh pemilik motosikal terbabit.

Sumber: World of BuzzNST

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds