Pemulihan pernafasan dan jantung, atau dikenali sebagai CPR, merupakan suatu kaedah pertolongan cemas yang dilakukan apabila denyutan jantung dan pernafasan seseorang terhenti, serta hilang kesedaran. Dalam keadaan ini, CPR dapat mengekalkan aliran darah yang beroksigen secara berterusan ke dalam otak kerana kematian otak akan terjadi jika tidak mempunyai oksigen yang mencukupi. Oleh itu, CPR memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan kehidupan otak semasa kecemasan berlaku.

Sumber: HelloDoktor

Dalam 4 minit pertama ketika seseorang mangsa kehilangan pernafasan dan denyutan jantung, beliau adalah dinyatakan dalam keadaan kematian klinikal di mana boleh diselamatkan dengan melakukan CPR untuk memastikan aliran oksigen berterusan ke dalam otak. Selepas 4-6 minit tanpa oksigen, sel otak akan mula mati dan 10 minit seterusnya, kematian otak akan terjadi. Keadaan ini adalah kematian kekal di mana mangsa tidak dapat diselamatkan lagi.

Baca artikel ini untuk mengetahui gerak kerja pemberian CPR yang berkesan seperti mana yang disarankan oleh Persatuan Kebangsaan Jantung Malaysia (NHAM).

Garis Panduan CPR untuk Orang Dewasa

Apabila melakukan CPR, ingatlah kata kunci: D-R-C-A-B

D- Danger (Merbahaya)

-Pastikan persekitaran adalah selamat dan tidak membawa bahaya kepada mangsa.

R – Response (Tindak balas), Rescue (Penyelamatan)

-Periksa tindak balas daripada mangsa – tepuk bahu dan tanya “Adakah anda OK?”.

-Jika tiada tindak balas, dapatkan bantuan seseorang untuk menghubungi 999 dan dapatkan Automated External Defibrillators (AED).

-Periksa nadi pada arteri karotid (leher) sekurang-kurangnya 5 saat (tidak melebihi 10 saat).

-Kalau tiada nadi dapat dikesan, lakukan CPR dengan segera.

Kredit: Miracle Care Responders

C – Chest Compressions (Tekanan dada)

-Pastikan mangsa berbaring atas permukaan yang rata.

-Kedudukan anda adalah di sebelah mangsa (antara leher dan bahu).

-Letakkan telapak tangan (satu tangan) anda di atas bahagian tengah dada dan letak lagi satu tangan atas tangan pertama. Pastikan lengan anda sentiasa lurus semasa melakukan tekanan dada.

-Lakukan tekanan dada dengan kuat, sekurang-kurangnya 5 cm (2 inci) dan tidak melebihi 6 cm (2.4 inci).

-Kadar tekanan adalah 100 hingga 120 setiap minit.

A – Airway (Saluran udara)

-Untuk memudahkan aliran saluran udara mangsa, donggakkan kepala dan angkat dagunya secara perlahan-lahan (Head Tilt – Chin Lift).

-Tujahkan rahang apabila berlaku kecederaan kepala atau leher.

B – Breathing (Pernafasan)

-Pernafasan bantuan biasanya dilakukan dari mulut ke mulut (Untuk keselamatan, hanya lakukan pernafasan mulut ke mulut apabila topeng muka surgikal boleh didapati).

-Jika mulut mangsa cedera atau tidak dapat dibuka, lakukan pernafasan mulut ke hidung.

-Picitkan hidung mangsa apabila memberi hembusan nafas dari mulut ke mulut.

-Berikan hembusan nafas pertama dan perhatikan kenaikan dada. Jika dada naik, berikan hembusan nafas yang kedua. Kalau dada tidak naik pertama kali, lakukan Head Tilt – Chin Lift lagi sebelum memberi hembusan nafas yang kedua.

-Satu kitaran CPR yang lengkap meliputi 30 tekanan dada dan 2 hembusan nafas. Lakukan sejumlah 5 kitaran sebelum memeriksa nadi mangsa. Jika masih tiada nadi dikesan, lakukan lagi 5 kitaran CPR sehingga nadi pulih atau ambulans sampai.

-Jika nadi pulih tetapi tiada pernafasan, lakukan pernafasan bantuan sahaja dengan 1 hembusan nafas setiap 5 saat (12 hembusan nafas dalam 1 minit).

-Kalau dapat AED, pasangkan alat tersebut dan ikuti arahan yang diberi. Jika AED tidak didapati, lakukan CPR lagi sehingga ketibaan ambulans.

Garis panduan CPR untuk bayi (umur kurang daripada 1 tahun) dan kanak-kanak (umur 1 tahun hingga akil baligh) adalah lebih kurang sama dengan garis panduan untuk orang dewasa.

Jadual di bawah menunjukkan persamaan dan perbezaan CPR untuk orang dewasa, bayi, dan kanak-kanak.

Sumber: HelloDoktor

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Kredit: HelloDoktor

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds