Faktor umur yang masih muda membuatkan anda berasa selamat untuk mengekalkan gaya hidup yang kurang sihat? Fikir sekali lagi kerana kisah gadis ini pasti akan mengubah persepsi anda.

Pada 28 Oktober lalu, seorang gadis Malaysia bernama Yvonne telah berkongsi kisahnya sedihnya di laman Facebook di mana dia disahkan menghidapi penyakit strok walaupun umurnya dalam kalangan 20-an. Apa yang memburukkan keadaan adalah sungguh pun telah muncul simptom-simptom awal, namun ia tidak diendahkan olehnya kerana dia berasa strok tidak akan menyerang pada golongan muda.

Kredit: Yvonne Wen

Lebih kurang setahun yang lalu, Yvonne mula mengalami demam secara kerap, dan ia turut diambil ringan olehnya. Selepas memakan ubat, demamnya pulih tetapi beberapa hari kemudian, mukanya pula bengkak. Dia kemudian hanya memakan ubat anti radang yang dibelinya di farmasi.

Bengkak berkenaan hilang dengan cepat, akan tetapi keesokan harinya, dia tidak dapat membuat reaksi muka langsung, termasuklah senyum. Mukanya kaku dan sebelah matanya tertutup separuh pada setiap masa. Dia kemudian pergi berjumpa dengan 3 orang doktor yang berlainan dan keputusan ketiga-tiga doktor berkenaan membawa kepada satu penyebab yang sama – strok!

Seorang daripada doktor tersebut mengeluarkan kata-kata yang membuatkannya tersedar, “Strok kamu disebabkan oleh gaya hidup waktu malam, kurang tidur, tekanan, diet dan kurang bersenam.”

Yvonne sememangnya bersetuju dengan apa yang dikatakan doktor terbabit. Hal ini kerana, ketika di England, dia akan keluar menonton wayang pada malam hari, sesi minum lewat malam, dan kerap kali makan makanan yang berminyak. Selain daripada itu, dia juga akan makan lewat malam sementara senaman pula langsung tidak dilakukannya.

“Pulang sahaja ke Malaysia, saya masih meneruskan gaya hidup yang sama tetapi saat berseronok sememangnya tidak akan bertahan lama. “Dalam tempoh setahun saja, saya telah didiagnos dengan penyakit strok dan kini saya perlu ‘kembalikan’ kesihatan saya kepada Tuhan.”

 

Kredit: Let me groom

Dia tidak dapat bertutur dengan betul dan tidak berupaya untuk mengunyah makanan. “Makanan akan keluar daripada mulut saya ketika saya makan,” jelasnya yang sedih dengan ujian tersebut. Nasib baik dia diperkenalkan dengan seorang doktor dari Singapura yang telah mengubah diet dan ubatan Yvonne. Doktor terbabit juga membantu mengurut muka dan badannya bagi membantu mempercepatkan pemulihan.

Selepas 6 bulan, Yvonne dapat kembali tersenyum tetapi doktor berkata dia masih belum sembuh sepenuhnya. Hal ini kerana penghidap strok lazimnya bakal berhadapan dengan masalah lain, dan ia menyebabkan Yvonne sangat mengambil berat akan kesihatannya.

Yvonne menasihati orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti mendapatkan tidur secukupnya, makan makanan berkhasiat, kurangkan pengambilan ais, dan mula bersenam. Apa yang paling penting ialah sentiasa memeriksa kesihatan anda dan berjumpa doktor daripada membuat keputusan sendiri dengan membeli ubat tanpa saranan doktor.

Kisah Yvonne ini ternyata membuka mata kita semua untuk menjaga kesihatan masing-masing. Semoga Yvonne cepat sembuh sepenuhnya!

Sumber: Yvonne Wen/Facebook, World of Buzz

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds