TANJUNG KARAWANG – Kotak hitam pesawat Lion Air JT610 yang terhempas pada awal pagi Isnin lalu telah berjaya ditemui di perairan Tanjung Karawang, pada 1 November.

Menurut sebuah televisyen tempatan TV One, pasukan penyelam Angkatan Laut, Tentera Nasional Indonesia (TNI) berjaya menemui kotak hitam dan sebahagian bangkai pesawat yang terlibat dalam nahas itu kira-kira jam 11.50 pagi (waktu tempatan) dan telah membawanya ke Kapal KM Baruna Jaya 1.

Kredit: Twitter/Kompas TV

Sebelum ini, Ketua Kesiapsagaan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) iaitu Muhamad Syaugi memaklumkan bahawa terdapat empat kapal telah dikerahkan untuk misi mencari dan menyelamat. Kapal berkenaan yang dilengkapi dengan teknologi sonar bagaimanapun telah mengesan isyarat ping dari kotak hitam pesawat berkenaan.

Salah seorang penyelam yang turut terlibat dalam penemuan berkenaan memberitahu Metro TV bahawa kotak hitam tersebut ditemui bersama serpihan pesawat di dalam lumpur di dasar laut.

“Kami gali dan menemui kotak hitam itu. Ia berwarna oren dan masih berada dalam keadaan sempurna”.

Kredit: Banjarmasin Post

Pesawat Lion Air JT610 yang membawa seramai 181 penumpang termasuk tiga kanak-kanak dan lapan anak kapal dilaporkan hilang dari radar kira-kira 13 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada pagi Isnin lalu di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628.

Sementara itu, CBS News melaporkan bahawa Presiden Lion Air mengakui bahawa pesawat yang dihantar pada Ogos lalu itu mempunyai ‘masalah teknikal’ ketika melakukan penerbangan sehari sebelum kejadian. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa masalah tersebut telah berjaya diselesaikan.

Kredit: Tempo.Co

Sehingga kini, pasukan penyelamat masih lagi meneruskan usaha pencarian dan telah menghantar 48 beg mayat yang mengandungi mayat mangsa bagi tujuan mengenal pasti identiti.

Insiden mengejutkan ini adalah nahas pertama melibatkan pesawat Boeing 737 Max 8 yang merupakan salah satu jet paling canggih milik syarikat berkenaan. Nahas ini turut dilaporkan sebagai nahas penerbangan paling dahsyat di Indonesia sejak peristiwa pesawat AirAsia dari Surabaya ke Singapura yang terhempas ke dalam laut pada Disember 2014 dan mengorbankan kesemua 162 nyawa.

Sumber: CBS NewsAstro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds