Musim peperiksaan akhir tahun sedang bermula dan setiap kali menghadapi peperiksaan, kita semua pasti sudah bersedia bukan sahaja dari segi menghafal nota tetapi juga menyediakan alat-alat tulis yang diperlukan semasa menjawab soalan nanti.

Kredit: Take Lessons

Ada yang akan membawa alat tulis tambahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti dakwat pen habis di saat-saat akhir dan sebagainya. Segala persiapan akan dilakukan dengan teliti agar proses menjawab soalan peperiksaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Tetapi, bagaimana pula kisahnya jika segala nota mahupun jawapan yang ditulis itu secara tiba-tiba hilang tanpa khabar berita sedangkan semasa menulisnya, tulisan itu wujud!?

Kredit: Twitter @afennaa2

Dalam satu perkongsian di laman sosial, seorang pelajar tingkatan lima dikatakan hampir gagal dalam peperiksaan percubaan SPM bagi mata pelajaran Bahasa Melayu apabila guru yang menyemak kertas itu mendapati kertas peperiksaannya kosong dan tidak ditulis dengan sebarang jawapan.

Kejadian ini membuatkan guru berkenaan terus memanggil pelajar yang dikenali sebagai Paan itu untuk berjumpa dengannya dan memberikan penerangan. Malah, guru berkenaan turut menasihati pelajar ini agar sedar bahawa peperiksaan SPM semakin hampir dan dia tidak lagi boleh mengambil ringan mengenai hal itu.

“Semasa cikgu-cikgu semua tengah tanda kertas percubaan.. Ustaz Don secara rahsia memanggil aku dan tiba-tiba dia ceramah aku.. Kemudian dia tanya kenapa tak jawab langsung kertas Bahasa Melayu ini sedarlah SPM nak dekat katanya…”.

Kredit: Twitter @afennaa2

Terkejut dengan apa yang berlaku, Paan yang tidak tahu tahu mengenai kejadian itu berasa amat keliru apabila mendapati kertas jawapannya benar-benar kosong sedangkan dia yakin dia telah menulis karangan yang panjang semasa menjawab peperiksaan tersebut.

“Sekali dia tunjuk memang betul kertas aku kosong. Rasa masa itu nak menangis kerana aku dapat 0 untuk kertas BM”.

Kredit: Twitter @afennaa2

Ragu-ragu dengan apa yang sebenarnya telah berlaku, Paan memutuskan untuk menyiasat mengenai perkara itu dan perkara pertama yang disyakinya adalah pen yang digunakan semasa menulis jawapan peperiksaan.

Dari situlah baru dia tahu bahawa dakwat pen Friction Ball dari jenama Pilot itu akan hilang apabila terkena haba. Namun, dakwat itu akan muncul kembali apabila diletakkan pada suhu -4°C ke bawah.

Semoga pengalaman Paan semasa menjawab kertas peperiksaan ini akan dijadikan sebagai pengajaran buat anda semua khususnya para pelajar agar tidak menggunakan pen ini.

Sumber: SAYS

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Aneh INSPIRASI Ria VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds