Seorang lelaki di Jepun menjual makanan ringan tempatan Jepun, takoyaki atau dumpling sotong dengan harga yang tidak masuk akal. Walaupun dia mengalami kerugian kerana mendapat keuntungan yang kurang berbanding modal yang dikeluarkan, namun dia tidak peduli.

Kredit: Pakutaso

Akio Mizuno yang berumur 52 tahun bekerja sebagai pemilik kedai cenderamata di pinggir jalan dan makanan tempatan di Ritto, sebuah bandar di pusat Shiga Prefecture di Jepun. Sejak tahun lepas, dia telah mengambil cuti pada setiap hari Khamis.

Walaupun usianya sudah meningkat lanjut, Mizuno masih belum melakukan aktiviti yang gemar dilakukan oleh rakan sebayanya. Sebaliknya, dia memutuskan untuk mengubahsuai sebuah van menjadi kedai takoyaki bergerak yang dipandunya ke bandar kejiranan, Kusatsu, dan menjual makanan ringan bersaiz kecil bermula jam 3:30 sehingga 5 petang.

Kredit: cocomy.net

Walaupun Mizuno merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya pada hari-hari lain dalam seminggu, Mizuno tidak membuat keuntungan pada jualan takoyakinya. Hal ini bukanlah disebabkan oleh takoyaki yang dijualnya itu tidak enak, tetapi kerana harga yang diletakkan untuk takoyaki itu.

Harga yang paling tinggi yang pernah diletakkan oleh Mizuno hanyalah 100 yen (RM 3.73) untuk 6 hingga 8 biji takoyaki, kira-kira seperempat dari apa yang biasanya dijual oleh peniaga takoyaki di tempat lain. Selain itu, harga itu hanya ditawarkan khas untuk pelajar sekolah menengah. Sekiranya anda berusia antara 13 hingga 15 tahun, anda hanya perlu memberi “Pakcik Genggaman” (atau dalam bahasa Jepunnya, Genkotsu Ojisan) seperti yang dipanggil oleh kanak-kanak tempatan di situ 50 yen (RM 1.87), dan jika anda masih di sekolah rendah, anda hanya perlu membayar sebanyak 10 yen (RM 0.37) sahaja. Walau bagaimanapun, orang dewasa yang membelinya akan dicaj dengan harga pasaran yang biasa kerana sebenarnya jualan takoyaki ini dikhaskan untuk kanak-kanak.

Kredit: cocomy.net

Sudah tentu, dengan penawaran harga yang begitu rendah itu, Mizuno sudah menjangka bahawa dia tidak akan mendapat keuntungan. Walaupun dia mendapat bekalan bawang hijau secara percuma dari seorang peniaga tempatan, namun dia tetap menerima kerugian penuh daripada pembelian sotong. Dengan sedikit pendapatan daripada jualan, dia mungkin hanya mampu membeli bahan-bahan lain yang lebih murah seperti tepung dan sebagainya.

Seperti yang mungkin anda fikirkan, aktiviti Mizuno pada setiap petang Khamis adalah sesuatu yang dilakukannya hanya untuk menjadikan hari-hari pelanggannya sedikit bahagia, dan alasan bagi harga rendah yang diletakkan adalah berasal dari zaman kanak-kanaknya yang dibesarkan oleh ibu tunggal dalam rumah selalu mengalami masalah kewangan.

Pada mulanya, Mizuno mahu menggunakan model yang sama seperti organisasi di Jepun yang menjalankan “kodomo shokudo,” atau kafetaria kanak-kanak. Program ini adalah sebuah program makan tengah hari yang menawarkan makanan yang berpatutan kepada anak-anak dari rumah berpendapatan rendah.

Kredit: cocomy.net

Walau bagaimanapun, kerana program ini pada dasarnya dirujuk kepada sebuah restoran, maka secara tidak langsung, untuk menjalankan kodomo shokudo pastinya memerlukan sejumlah ruang dan kakitangan yang tertentu. Disebabkan oleh kekangan ini, Mizuko memutuskan untuk meniaga takoyaki dengan menggunakan van yang diubah suai.

Tidak dapat dinafikan, pada mulanya ramai orang mencurigai Mizuno, lelaki botak di dalam van yang menjual makanan ringan dengan harga yang rendah yang tidak masuk akal. Tetapi akhirnya niat murni Pakcik Genggaman tersebar dan ramai yang mengatakan bahawa dia menjual takoyaki yang lazat, maka kini ramai orang yang sentiasa menunggu hari Khamis untuk beratur membeli takoyaki yang dijual olehnya.

Mizuno terkenal dengan nama Pakcik Genggaman kerana apabila tiba masanya untuk membayar, anak-anak tidak perlu menyerahkan wang terus kepada Mizuno. Sebaliknya, mereka diberitahu untuk menggenggam duit syiling dengan tangan yang tertutup dan memasukkannya ke dalam satu lubang yang terdapat pada kotak yang dikenali sebagai “Kotak Genggaman”. Kotak ini diletakkan bersebelahan tempat Mizuno memasak.

Kredit: cocomy.net

Malah sebelum Mizuno menerima pelanggan pertamanya pada hari itu, Kotak Genggaman itu tidak kosong. Benar, tiada apa-apa duit syiling di dalamnya, tetapi sebelum dia membuka kedai, Mizuno akan meletakkan tuala lembut di dalam kotak itu, supaya duit syiling yang diletakkan tidak akan berbunyi apabila jatuh ke dalamnya.

Mizuno melakukan semua perkara ini hanya kerana satu sebab – rasa kasihnya kepada anak-anak dari keluarga yang miskin yang tidak mempunyai walau 10 yenpun untuk membeli makanan ringan. Kerana dia pernah hidup dalam keadaan sebegitu suatu ketika dahulu, dia bernekad untuk melakukan niat yang murni ini.

Pemahaman yang tidak diucapkan antara Pakcik Genggaman dan pelanggannya adalah bahawa jika anda tidak mempunyai wang, anda sentiasa boleh berjalan ke kotak dengan kepalan tertutup dan berpura-pura untuk menjatuhkan beberapa keping duit syiling ke dalamnya. Tiada siapa yang akan melihat bahawa tangan anda kosong, dan kekurangan bunyi tidak akan mendedahkan anda, kerana setiap pembayaran dilakukan secara senyap.

Kerana sejujurnya, apabila anda hanya mengecaj 10 yen, apakah perbezaannya dengan tidak mengecaj apa-apa harga untuk takoyaki itu? Jelaslah maklamat utama Pakcik Genggaman ini sebenarnya hanyalah untuk membahagiakan anak-anak kecil itu.

Sumber: Sora News 24

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds