Di Oklahoma City, berlaku satu kisah yang menghiburkan mengenai seorang wanita bernama Betsy Reyes dan anjing peliharaannya, Princess. Betsy dikatakan mula menyedari badan anjingnya itu semakin membulat sedangkan dia memberi makanan yang sama setiap hari.

Rupa-rupanya, Betsy mendapat tahu bahawa Princess sering kali menyelinap keluar pada waktu malam untuk melakukan sesuatu ‘pekerjaan’ yang pastinya akan membuatkan anda menepuk dahi!

Justeru, pada suatu malam, Betsy memutuskan untuk menyiasat kegiatan Princess secara senyap-senyap. Dia mendapati Princess telah pergi ke sebuah restoran McDonald’s dan melihat kenderaan lalu-lalang di laluan khas drive-thru.

Berpura-pura seperti anjing terbiar yang kelaparan, Princess meneruskan lakonannya dan berharap akan ada manusia yang bersimpati dengannya.

Dan secara tiba-tiba, di hadapan mata Betsy, dia melihat ada pelanggan yang ‘termakan umpan’ dan melontarkan cebisan burger McDonald’s yang enak kepada Princess.

Berang dengan perangai Princess, Betsy memutuskan untuk memberi kejutan kepada anjingnya itu. Dia sendiri telah memandu ke lorong drive-thru dan apabila tiba berdekatan Princess, Betsy telah menurunkan tingkapnya dan memandang tepat ke arah Princess.

Kantoi! Princess kemudian menyedari kegiatannya telah diketahui dan dengan serta-merta terus menggoyang-goyangkan ekornya sebelum masuk ke dalam kereta untuk pulang ke rumah dan bersedia untuk dimarahi.

Kejadian ini telah dirakamkan sendiri oleh Betsy dan dimuat naik ke Facebook. Video berkenaan menjadi tular segera dan mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen.

“Taktiknya sangat efektif sehinggakan orang terpedaya dengan rupa kasihannya. Saya rasa Princess adalah manusia semasa kehidupan sebelum ini”.

Seorang lagi netizen memberi komen, “Anjing pisau cukur. Itulah gelaran yang sesuai untuk anjing ini”.

Sejak kejadian itu, Princess menjadi bintang sensasi internet sehingga ada individu yang mencipta akaun Instagram khas untuknya!

Sumber: Bored Panda

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Ria VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds