Selepas kematian suami tercinta, ibu tua bernama Chen Zhaolian yang bekerja sebagai pekerja pembersihan ini berusaha bersungguh-sungguh untuk membesarkan dua orang anaknya.

Meskipun memikul dua tanggungjawab sekali gus, Chen yang kini berusia 63 tahun tidak pernah mengeluh. Sehinggalah pada satu hari apabila anak perempuannya yang dikenali sebagai Ma Er menyedari bahawa ibu bapanya tidak pernah memiliki gambar perkahwinan mereka.

Justeru, Ma Er memutuskan untuk berpakaian seperti seorang watak bapa dan menemani ibunya untuk mengambil gambar perkahwinan.

Seperti yang anda dapat lihat dalam gambar berkenaan, ibunya memakai gaun labuh berwarna putih bersama-sama dengan tiara dan kelubung (veil). Manakala Ma Er, 28 tahun memakai kot bersama topi dan kelihatan amat segak.

Semasa Ma Er memberi sejambak bunga kepada ibunya, Chen Zhaolian terasa sebak dan mengalirkan air mata.

“Saya hanya lakukan apa yang saya mahu. Setiap wanita mengimpikan untuk memakai gaun perkahwinan yang cantik. Ibu saya sudah lama bekerja keras sepanjang hidupnya dan tidak pernah memiliki peluang untuk memakai gaun.”

Menurut perkongsian Ma Er, bapanya meninggal dunia pada tahun 1997 kerana menghidap penyakit. Pada waktu itu, Ma Er masih kecil dan baru berusia tujuh tahun manakala abangnya pula telah berusia 17 tahun. Sejak pemergian bapa, ibunya lah yang menjadi tonggak utama keluarga dengan melakukan pelbagai pekerjaan demi menampung keperluan keluarganya.

“Kami tinggal di Pekan Liuliping, Danjiangkou. Pendapatan ibu sebagai pekerja pembersihan sangat rendah dan ibu terpaksa memungut sampah untuk menyara keluarga.”

“Semasa kecil, setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, ibu akan berusaha membelikan pakaian baru untuk kami. Tetapi dia sendiri tidak mampu untuk membeli sepasang stoking.”

Ma Er telah menamatkan pelajaran dari Universiti pada tahun 2013 dan mula bekerja di Wuxi demi membantu membalas jasa dan budi ibunya. Dengan pendapatan yang diterimanya itulah, Ma Er mampu membelikan sepasang gaun cantik khas buat ibu tercinta.

Malah, setiap kali pulang ke rumah, Ma Er akan mengambil kesempatan itu untuk tidur bersama ibunya. Dia juga tidak kekok untuk mencuci kaki ibunya dan menjaga ibunya dengan baik.

Begitulah kasih sayang yang kukuh antara anak-beranak ini. Satu sumber inspirasi yang pastinya akan menyentuh jiwa sesiapa sahaja yang membaca kisah keluarga ini.

Sumber: Sinchew

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL INSPIRASI

Video Popular

Ad will display in 09 seconds