JAKARTA – Pesawat Lion Air yang membawa 189 penumpang dan anak kapal disahkan terhempas ke dalam laut, 13 minit kemudian sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta pada Isnin 29 Oktober jam 6.21 pagi waktu tempatan. Pesawat telah disahkan terhempas di utara laut Tanjung Karawang, Jawa Barat, Indonesia.

Pesawat Boeing 737 Lion Air JT 610 dilaporkan membawa 178 penumpang dewasa bersama dua bayi dan seorang kanak-kanak dengan enam orang kru kabin bersama dua orang juruterbang, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Jakarta pada jam 6.21 pagi dan dijadual tiba di Pulau Pangkal Pinang di Bangka Belitung, Sumatera pada jam 7.20 pagi sebelum terputus hubungan dengan pihak kawalan trafik udara dan hilang dari radar pada jam 6.33 pagi waktu tempatan.

Kredit : Berita Harian

Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (BASARNAS) telah menerima laporan kehilangan pesawat tersebut daripada pegawai kawalan trafik udara yang bertugas dan pada jam 6.45 pagi, sebuah bot tunda telah menemui serpihan pesawat disyaki milik Lion Air di Tanjung Bungin di Karawang, Jawa Barat.

Jurucakap BASARNAS, Yusuf Latif berkata pihak berkuasa Indonesia menerusi agensi yang terbabit telah giat memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mengesan pesawat Lion Air yang terjunam ke dalam laut di lokasi perairan Tanjung Karawang, Jawa Barat.

Kredit : Flight Radar 24 /AFP/ Berita Harian

Sebelum ini, pegawai bertugas di Tanjung Priok, Jakarta Utara, Suyadi berkata, “Pada jam 7.15 pagi, sebuah bot tunda melaporkan menemui serpihan pesawat di lokasi kejadian. Sehingga jam 9 pagi, mereka masih tidak menerima sebarang laporan mengenai penumpang dalam pesawat itu.”

Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan terdapat kesan tumpahan minyak pada permukaan air di perairan tersebut. Sementara jurucakap agensi bencana Sutopo Purwo Nugroho memuat naik foto di Twitter dengan imej yang dilihat sebagai gelongsor kecemasan dan beberapa serpihan dokumen dan telefon bimbit.

Kredit : Sutopo Purwo Nugroho/Twitter/Kompas

Dalam satu kenyataan ketika mengesahkan nahas pesawat terbabit, Yusuf Latif berkata, “Pesawat telah memohon kebenaran untuk pulang ke pangkalan sebelum hilang dari radar.”

Manakala laman web Flightradar ketika mengesan perjalanan pesawat Boeing 737 yang baru memulakan operasi pada bulan Ogos, 2018 itu memberitahu, ia telah membuat pusingan ke selatan untuk berlepas dan menuju ke bahagian utara sebelum berakhir mendadak di Laut Jawa.

Kredit : Kompas TV /Astro Awani

Laporan terkini di Jakarta menerusi Timbalan Bahagian Operasi Pencarian, Pertolongan dan Kesiapsiagaan, BASARNAS, Mejar Jeneral Nugroho Budi Wiryanto berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dipergiat dengan setakat ini pihak mereka telah mengenal pasti lokasi kotak hitam pesawat malang Lion Air JT610.

Dalam kenyataannya Nugroho berkata, “Kita hanya menemui serpihan yang terapung termasuk telefon bimbit, kad pengenalan, buku bank dan beberapa barangan dipercayai milik mangsa dan kru. Jenazah penumpang yang akan ditemui akan dibawa ke RS Polri Kramat di Tanjung Priok.”

Kredit : Sutopo Purwo Nugroho / Twitter /CNN

Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seramai 450 anggota Tentera Nasional Indonesia telah digerakkan ke lokasi tragedi bersama 150 anggota dengan 30 orang pasukan penyelam dari Agensi Bencana Indonesia (BASARNAS) bagi mengesan pesawat dan kesemua 189 mangsa yang dipercayai telah terkorban.

Sumber : CNN, KompasBerita Harian, Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds