ZHUHAI – Presiden China, Xi Jinping telah merasmikan upacara pembukaan jambatan laut terpanjang di dunia yang menghubungkan Hong Kong, Macau dan tanah besar China pada 23 Oktober yang lalu.

Kredit: CARI

Menurut laporan Utusan Online, jambatan sepanjang 55 kilometer yang dilengkapi dengan terowong dasar laut itu turut menghubungkan Lantau di Hong Kong ke Zhuhai dan Macau merentasi perairan Pearl River Estuary.

Difahamkan pembinaan Jambatan Hong Kong-Zhuhai ini adalah projek infrastruktur kedua terbesar selepas pelancaran kereta api berkelajuan tinggi sekitar akhir September lalu.

Kredit: Utusan Online

Jambatan ini mula dibina sejak tahun 2009 lagi dan sepatutnya siap pada tahun 2016. Namun disebabkan oleh beberapa kekangan seperti kos, tuduhan unsur rasuah serta kematian sekurang-kurangnya 18 orang buruh menyebabkan pembinaan projek ini sering ditangguhkan.

Kredit: CNN.co.jp

Bagaimanapun, tindakan ini membuatkan beberapa pihak tidak senang hati dan beranggapan bahawa pembinaan jambatan yang menelan belanja sehingga RM83 bilion itu merupakan salah satu taktik kerajaan China untuk ‘membawa masuk’ Hong Kong sekali gus mengukuhkan kuasanya ke atas wilayah berkenaan.

Di samping itu juga, terdapat beberapa laporan daripada media tempatan yang memberikan kritikan hebat kepada pembinaan projek mega tersebut.

Antara isu yang dimainkan adalah gelaran ‘jambatan maut’ yang diberikan oleh segelintir media tempatan. Gelaran tersebut diberikan setelah berlakunya insiden kematian beberapa orang buruh selain ratusan lagi mengalami kecederaan sewaktu pembinaan dijalankan.

Bukan sahaja itu, pembinaan jambatan ini turut menerima kecaman hebat kerana impak negatifnya terhadap kesejahteraan alam sekitar.

Menurut pihak pejuang alam semula jadi, projek mega ini telah mengakibatkan kesan yang serius kepada hidupan marin di kawasan itu termasuk menyebabkan kematian spesies ikan lumba-lumba putih China.

Dikhabarkan jumlah ikan lumba-lumba putih yang berada di perairan Hong Kong itu telah berkurangan secara mendadak iaitu daripada 148 ekor kepada hanya 47 ekor sahaja sepanjang tempoh 10 tahun pembinaan jambatan.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh World Wide Fund for Nature (WWF) cawangan Hong Kong, spesies hidupan tersebut kini tidak lagi kelihatan di sekitar jambatan berkenaan ekoran pencemaran yang berlaku.

“Projek ini telah menyebabkan kemusnahan kepada laut. Saya khuatir sekiranya bilangan itu tidak akan meningkat lagi,” kata Penolong Pengarah Pemeliharaan Laut di WWF iaitu Samantha Lee.

Isu ketiga yang menjadi kritikan adalah kos yang terlalu tinggi untuk membina jambatan ini mungkin tidak akan memberi pulangan berbaloi kepada keadaan ekonomi China.

Menurut laporan BBC, jumlah kos bagi pembinaan jambatan, laluan jalan raya yang bersambungan dengan jambatan berkenaan dan juga pulau buatan manusia adalah sebanyak RM83 bilion manakala jambatan utama sahaja memakan kos sebanyak RM26.8 bilion!

Beberapa pegawai kerajaan China menyatakan bahawa pembinaan jambatan ini akan membawa pulangan lumayan kepada ekonomi dengan anggaran RM6 trilion namun ramai pihak yang ragu-ragu dengan anggaran tersebut.

“Saya tidak pasti bagaimana jambatan ini boleh mendapat pulangan jika tidak banyak kenderaan yang boleh menggunakannya. Saya sangat yakin kita tidak akan boleh mendapat kos pembinaan itu semula,” kata Tanya Chan kepada BBC News Chinese.

Malah, menurut anggaran yang dilakukan oleh BBC Chinese, jambatan ini hanya akan memperoleh sebanyak kira-kira RM358 juta sahaja hasil kutipan tol setiap tahun. Hal ini membuatkan beberapa pengkritik telah menggelar jambatan tersebut sebagai ‘gajah putih besar’ kerana ianya tidak akan boleh memberikan jaminan pulangan ekonomi.

Menarik mengenai jambatan ini adalah ia dibina khusus agar dapat bertahan daripada bencana gempa bumi dan juga taufan dengan menggunakan 400,000 tan bahan logam yang dikhabarkan mencukupi untuk membina 60 buah Menara Eiffel!

 

Kredit: BBC

Sebelum ini, waktu perjalananan di antara Zhuhai dan Hong Kong dianggarkan memakan masa sehingga empat jam. Bagaimanapun, dengan adanya pembinaan jambatan baharu ini, tempoh perjalananan dapat dikurangkan kepada hanya 30 minit sahaja.

Menurut laporan BBC, mana-mana individu yang ingin menggunakan jambatan tersebut perlu membayar tol di samping memiliki permit khas yang diperuntukkan oleh sistem kuota.

Kredit: Malaysia Gazette

Jambatan ini juga tidak boleh dilalui oleh sebarang pengangkutan awam seperti bas mahupun kereta api. Selain itu, beberapa kamera khas turut akan dipasang bagi mengenal pasti mana-mana pemandu yang menunjukkan tanda-tanda mengantuk sewaktu memandu. Media tempatan melaporkan bahawa jika pemandu menguap sebanyak tiga kali, pihak berkuasa akan terus dimaklumkan mengenainya.

Kredit: China Xinhua News/Facebook

Sumber: BBCUtusan OnlineHarian MetroChina Xinhua News/Facebook, Sinar Harian, Siakap Keli

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds