Sekumpulan perompak yang membatalkan niat mereka untuk melakukan kegiatan jenayah ke atas sebuah kedai di Belgium akhirnya ditangkap selepas pemilik kedai berkenaan memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang yang mencukupi dan meminta perompak tersebut untuk datang semula nanti.

Pemilik kedai yang menjalankan perniagaan e-rokok di Charleroi dikenali sebagai Didier itu memaklumkan bahawa seramai enam lelaki bersenjata telah masuk ke kedainya dan meminta wang.

Bagi menangani situasi tegang itu, Didier telah meminta perompak-perompak itu untuk datang semula ketika kedai hampir tutup memandangkan pada waktu itu, dia sudah mempunyai wang yang mencukupi untuk diberikan kepada perompak berkenaan.

“Saya dengan jelas memberitahu mereka bahawa waktu 3 petang bukanlah waktu yang sesuai untuk merompak kedai. Awak boleh ambil 1000 euros tetapi jika awak datang semula malam ini, awak mungkin boleh dapat lebih.”

Helah tersebut ternyata berjaya mengumpan para perompak itu yang kemudiannya berlalu pergi. Setelah itu, Didier terus memaklumkan pihak polis mengenai insiden itu.

Kemudian, sekitar jam 5.30 petang, kumpulan perompak ini muncul kembali dan Didier sempat bergurau dengan nada perli kepada perompak-perompak itu.

“Saya bergurau dan menyatakan ‘awak perlu membeli jam. Sekarang baru pukul 5.30, bukan 6.30’. Mereka kemudian keluar dari kedai,” kata Didier kepada RTL.

Apabila tiba waktunya, perompak ini datang semula ke kedai berkenaan buat kali ketiga untuk menuntut janji pemilik kedai berkenaan. Bagaimanapun, kedatangan mereka kali ini nampaknya tidak begitu bernasib baik memandangkan beberapa anggota polis yang menyamar sedang memerhatikan mereka.

Akhirnya, seramai lima individu berjaya diberkas manakala perompak keenam sempat melarikan diri dari situasi itu.

Kata Didier kepada BBC, “Ia seperti satu komedi. Mereka kini digelar perompak paling teruk di Belgium.”

Kredit: RTL Info/Facebook

Sumber: IndipendentBluefield Daily TelegraphRTL Info/Facebook

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds