KUALA LUMPUR –  Majikan yang menggaji kanak-kanak di bawah umur 15 tahun akan berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau maksimum lima tahun bagi kesalahan berulang mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2018.

Selain hukuman penjara lebih berat, denda juga dinaikkan daripada tidak melebihi RM5,000 kepada tidak melebihi RM50,000, dan bagi kesalahan berulang, majikan boleh didenda tidak melebihi RM100,000, berbanding tidak melebihi RM10,000 sebelum ini. Peningkatan sebanyak sepuluh kali ganda.

Kredit : Pulitzer Center / Gambar Hiasan

Hukuman itu antara pindaan yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966 atau Akta 350 yang diluluskan secara sebulat suara selepas dibahaskan oleh 19 ahli Parlimen dan dibaca kali ketiga di Dewan Rakyat pada 17 Oktober 2018.

Menurut laporan The Star, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dalam kenyataannya berkata, “Pindaan akta ini akan meningkatkan perlindungan kepada kanak-kanak dan orang muda daripada dieksplotasi dan didiskriminasi pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.”

Kredit : The Malay Mail

M Kulasegaran berkata, “Hukuman penjara dinaikkan daripada tidak melebihi setahun kepada tidak melebihi dua tahun manakala bagi kesalahan berulang, hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun kepada tidak melebihi lima tahun.”

Bagaimanapun, Akta 350 hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia. Bagi Sabah dan Sarawak, peruntukan adalah tertakluk kepada Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), dengan penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja negeri masing-masing.

Mengulas lebih lanjut, M Kulasegaran berkata, pindaan akta itu telah menetapkan kanak-kanak (di bawah usia 15 tahun) dan orang muda (di bawah usia 18 tahun) tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja berbahaya seperti :

1.Mengendali mesin dan jentera.

2.Pekerjaan yang mendedahkan kanak-kanak kepada bahan kimia berbahaya.

3.Terdedah kepada suhu melampau dan persekitaran berdebu, dan

4.Terdedah kepada bunyi bising.

 

Kredit : Human Right Watch / Gambar Hiasan

M Kulasegaran menambah, “Majikan juga tidak dibenarkan menggaji kanak-kanak dan orang muda untuk menjual alkohol, melakukan pekerjaan berkaitan perjudian dan loteri, perkhidmatan urut dan refleksologi, pelacuran atau menjadi pengiring sosial.”

Menteri Sumber Manusia juga menjelaskan pindaan kepada Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 perlu dilakukan bagi memastikan undang-undang buruh di Malaysia adalah selari dan menurut standard piawaian undang-undang buruh antarabangsa.

Sumber : The Star , The New Straits Times, SAYS

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds