Etnik Uyghur di rantau Xinjiang barat daya China sedang diseksa, dirogol, dan dibunuh dalam kem ‘pendidikan semula politik’, bekas tahanan memberitahu The Epoch Times.

Sehingga 9 Oktober, sejumlah ‘lebih daripada satu juta’ tahanan yang kebanyakannya etnik Uyghur terus ditahan di tahanan tersebut,  menurut angka yang dipetik oleh Suruhanjaya Eksekutif Kongres Amerika Syarikat di China (CECC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pegawai Parti Komunis China (PKC) berkata penahanan besar-besaran di kalangan etnik Uyghur yang majoritinya beragama Islam, adalah sebahagian daripada langkah untuk menentang keganasan, ekstremis agama dan separatisme di negara China. PKC telah menggunakan alasan “ancaman pelampau” berpotensi untuk membenarkan pengawasan dan tindakan tegasnya terhadap etnik Uyghur dan kumpulan minoriti Islam lain di rantau Xinjiang.

Perkara pertama yang diterangkan kepada The Epoch Times adalah tentang percubaan oleh pihak berkuasa untuk membuat tahanan Uyghur meninggalkan budaya dan bahasa mereka dengan memaksa mengecam kepercayaan mereka dan berjanji setia kepada PKC serta pemimpinnya.

Jika tahanan tidak mematuhi arahan, mereka akan tertakluk kepada lima bentuk penyeksaan sebagai hukuman, seorang bekas tahanan etnik Uyghur menyatakan dalam satu wawancara di Istanbul, Turki.

Omir Bekli, 42 tahun, yang berasal dari Kazakhstan sejak 2006, ditahan selama enam bulan pada Mac tahun lepas selepas beliau ditangkap secara paksa di rumah ibu bapanya di Shanshan-180 batu di timur Urumqi, ibukota Xinjiang-kepalanya ditutup dengan karung hitam sebelum dibawa pergi.

Beliau melawat Urumqi pada masa itu untuk menghadiri mesyuarat antarabangsa mengenai pelancongan.

Bekli ditahan selama tujuh bulan di dalam lokap polis dan kemudian dihantar ke kem pendidikan semula di Karamay selama 20 hari di mana beliau diseksa kerana enggan menyanyikan lagu-lagu yang memuji PKC dan pemimpinnya, Xi Jinping.

“Kaedah penyeksaan adalah sangat tidak berperikemanusiaan dan sangat tidak tertanggung,” kata Bekli kepada The Epoch Times.

Etnik Uyghur ‘dirantai seperti haiwan’, tanpa makanan dan tempat tidur, serta dipukul sehingga badan mereka bengkak dan berdarah.

“Mereka membuat anda takut dan lemah, secara fizikal dan mental, supaya mereka boleh membuat anda patuh kepada mereka,” jelas Bekli.

Seorang lagi tahanan Uyghur – warga negara Kazakhstan berusia 54 tahun yang dibebaskan pada September dari sebuah kem di Urumqi selepas ditahan selama 15 bulan-memberitahu The Epoch Times bahawa wanita Uyghur yang masih muda diperkosa setiap hari oleh pegawai PKC di kem-kem tersebut dan diancam bunuh jika mereka menolak. Bekas tahanan berusia 54 tahun itu bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana risau akan keselamatannya.

“Gadis-gadis muda dibawa keluar dan diperkosa sepanjang malam. Jika anda terus menentang, mereka akan menyuntik anda dengan sesuatu dan membunuh anda,” katanya.

Beliau secara peribadi menyaksikan dua orang wanita Uyghur dibunuh dengan suntikan, katanya kepada The Epoch Times.

“Selalunya 40 hingga 50 orang diletakkan dalam satu bilik kecil, tetapi lima hingga 10 orang kerap dikeluarkan dan mereka terus hilang dan tidak pernah kembali. Puluhan orang dibunuh sepanjang masa.”

Beliau menambah bahawa wanita juga diberi pil untuk menghalang mereka daripada hamil.

Bekli berkata bahawa di khemahnya, dia juga menyaksikan mayat Uyghur ditarik keluar dari bilik ketika beliau ditahan. “Mereka mungkin dipukul sehingga mati,” katanya.

Sebelum ini menafikan semua dakwaan tentang diskriminasi agama dan kewujudan kemudahan pengasingan beramai-ramai, pihak berkuasa tempatan di Xinjiang secara rasmi menubuhkan ‘pusat latihan vokasional’ pada 9 Oktober untuk ‘mendidik dan mengubah’ mereka yang dipercayai sebagai pelampau agama.

Pegawai tertinggi PKC, Hu Lianhe yang bertanggungjawab atas pejabat urusan minoriti Parti itu, baru saja meyakinkan panel PBB mengenai diskriminasi kaum pada bulan Ogos lalu: “tidak ada penindasan terhadap etnik minoriti atau pelanggaran kebebasan beragama mereka atas nama untuk mencegah keganasan”di Xinjiang.

Hu juga menolak dakwaan bahawa bilangan orang Islam yang ditahan di rantau itu meningkat kepada satu juta orang. Selain etnik Uyghur, etnik minoriti lain yang diseksa termasuklah Kazakh, Dongxiang, dan Uzbek, serta Han Chinese Muslims (Hui). Pengikut Kristian, pengamal Falun Gong, dan tahanan politik lain juga dilaporkan ditangkap dan ditahan di rantau Xinjiang.

Etnik Uyghur di rantau ini ditahan atas sebab-sebab seperti menghubungi rakan atau saudara di luar negara, melancong ke negara asing, menyimpan janggut, dan menghadiri ceramah agama, etnik Uyghur yang mempunyai anggota keluarga mereka di kem-kem tersebut memberitahu The Epoch Times.

Mayat mereka yang mati semasa berada di kem tersebut tidak pernah dihantar kepada ahli keluarga mereka, The Epoch Times telah diberitahu.

Siapa Etnik Uyghur dan Kenapa Mereka Ditahan?

Etnik Uyghur yang berbahasa Turki adalah salah satu daripada 55 kumpulan etnik minoriti di China yang diiktiraf secara rasmi. Sebahagian besarnya merupakan Ahli Sunnah Wal Jamaah, mereka merangkumi separuh daripada 22 juta yang tinggal di rantau Xinjiang. Sejak PKC menyusun semula Xinjiang ke China pada September 1949, PKC telah menggunakan tuntutan Turkistan Timur yang disokong Soviet sebagai cara untuk membenarkan penindasan orang Uyghur.

Selepas serangan 11 September pada tahun 2001, PKC menamakan etnik Uyghur sebagai sebahagian daripada “tiga kuasa jahat” ekstremisme, separatisme dan keganasan-bersama-sama Tibet, Kristian, dan Falun Gong. Serta telah menuduh etnik Uyghur melakukan ‘tindakan pengganas’ di seluruh negara, walaupun sedikit bukti. Etnik Uyghur telah diharamkan daripada mengikuti amalan keagamaan seperti berjanggut panjang, puasa, dan memakai tudung atau berhijab sebagai sebahagian daripada tindakan pihak berkuasa tempatan menggambarkan sebagai menangani ekstremisme Islam.

Penindasan etnik Uyghur hanya dipergiat pada saat-saat terakhir, didorong oleh rusuhan etnik utama pada tahun 2009, 2013 dan 2014, ketika penindasan Uyghur dilihat semakin dipergiatkan. Menurut wakil Persatuan Uyghur, Enver Tohti dan komentator China, Ming Yan, pergaduhan etnik yang ganas berlaku pada tahun 2009 telah dirancang oleh para pegawai PKC untuk meningkatkan ketegangan etnik antara Uyghur dan Han. Pemerhati politik mengatakan mereka percaya pegawai dari golongan yang setia kepada bekas pemimpin PKC, Jiang Zemin telah menimbulkan ketidakstabilan sosial untuk mewujudkan dilema politik untuk kepimpinan Xi. Epoch Times sebelum ini melaporkan bahawa rantau Xinjiang telah menjadi kubu kuat untuk puak Jiang sejak tahun 2002.

Ditahan Tanpa Sebab Munasabah

Rabiye Muhammad, yang berpindah dari Turpan ke Calgary, Kanada, pada tahun 2007, berkata ibunya yang berusia 65 tahun ditahan pada Februari tahun ini kerana melawatnya pada bulan Oktober 2014 selama empat bulan.

“Mereka membawanya kerana mereka tahu dia pergi ke luar negara,” katanya kepada The Epoch Times.

Ahli keluarga lain yang juga telah ditangkap tanpa sebab adalah kakaknya, bapa saudaranya yang berusia 70 tahun, dan adik lelakinya yang ditangkap di rumahnya dengan karung hitam di atas kepala.

“Mereka menangkapnya tanpa sebab. Mereka menangkap semua orang dan ia merupakan pembunuhan beramai-ramai. Mereka hanya mencari alasan untuk menangkap etnik Uyghur. ”

Banyak keluarga Uyghur mengatakan bahawa mereka mendapati diri mereka dalam situasi yang sama.

Cendekiawan Amerika Syarikat, Tahir Imin, 38, dilahirkan di Kashgar, memberitahu The Epoch Times bahawa PKC melihat mereka yang telah mengembara ke luar negara sebagai ‘ancaman kepada masyarakat’.

“China percaya mereka yang telah melawat negara lain dapat melihat keburukan dan kesilapan PKC,” jelas Imin.

Mereka dihantar ke kem tahanan untuk “mencuci otak, penyeksaan, dan hukuman,” kata Nicholas Bequelin, Pengarah Amnesty International’s East Asia dalam kenyataan akhbar.

“Dengan hanya menghantar mesej kepada keluarga yang berada di luar negara boleh membuat anda ditahan … [ia] menyerlahkan bagaimana tindakan pihak berkuasa China adalah tidak masuk akal, tidak wajar, dan sewenang-wenangnya.”

Mereka yang ditahan tidak dibicarakan dan tidak boleh mencabar keputusan atau mengupah peguam.

Bagaimanakah Etnik Uyghur Diseksa?

Etnik Uyghur menghadapi lima bentuk hukuman dan penyeksaan jika mereka tidak mematuhi perintah daripada pegawai di kem tahanan, menurut Bekli.

Hanya diberikan tiga jam sehari untuk tidur, dari tengah malam hingga 3 pagi, Bekli dan rakan-rakannya terpaksa menatap dinding, menyanyikan lagu kebangsaan PKC, dan tiga ‘lagu positif tentang PKC’ sebelum diberi makanan pertama mereka pada hari itu. Perkara yang sama akan berlaku sebelum makan tengah hari, katanya.

Lagu-lagu yang wajib dinyanyikan termasuk; ‘Tanpa Parti Komunis, Tidak Akan Ada China Baru,’ ‘Sosialisme Baik,’ dan ‘Ode to the Motherland,’ yang mempunyai lirik seperti, “Parti Komunis baik! Parti Komunis adalah pemimpin yang baik untuk rakyat, “dan” Parti Komunis bekerja keras untuk negara, Parti Komunis satu fikiran menyelamatkan China.”

Bekli menjelaskan: “Jika anda enggan menyanyi lagu yang memuji PKC dan pemimpin Xi Jinping, anda akan dipukul dengan teruk. Mereka kemudian membuat anda berdiri dan menghadap dinding, dan menghalang anda daripada tidur dan makanan selama 24 jam.”

Jika anda menolak lagi, anda akan dirantai di ‘kerusi harimau’, dan tidak diberi makanan serta tidak dibenarkan tidur lebih lama, lanjutnya.

Hukuman berikutnya adalah “dirantai seperti binatang” selama satu hingga tiga hari di dalam bilik yang sangat gelap dan sempit dipanggil sebagai ‘lubang hitam’, katanya.

“Hukuman keempat adalah, jika pada musim panas, mereka mengarahkan anda berdiri di atas simen di bawah matahari yang terik. Anda tidak memakai apa-apa kecuali pakaian dalam serta tidak dibenarkan memakai kasut.

“Kaki kamu akan terbakar kerana panas matahari. Jika musim sejuk mereka melakukan perkara yang sama, ” kata Bekli kepada The Epoch Times.

Hukuman terakhir termasuk dipukul dengan kejam menggunakan kayu dan apa sahaja yang mereka dapati.

“Kemudian mereka menggantung kedua belah tangan kamu. Mereka meletakkan anda dalam ‘penjara air’ yang dipenuhi dengan air yang sangat kotor, busuk, sehingga paras leher anda, selama satu hingga lima hari.

“Jika anda berada di sana selama lebih daripada lima hari, ada kemungkinan besar anda akan mati, kerana air itu membunuh anda jika anda berada di sana selama beberapa hari,” katanya.

Semasa menunggu hukuman terakhir mereka, Uyghur hanya diberi sekeping roti kecil untuk bertahan hidup, tambah Bekli.

Lelaki Uyghur di kem tahanan juga dipaksa mengambil pil setiap hari, “untuk menghentikan perasaan seksual mereka selama-lamanya,” kata Bekli.

“Pil itu membuatkan orang kelihatan gila, hilang akal, dan seolah-olah mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan-mereka hanya melakukan seperti yang diarahkan. Ia seolah-olah mereka sedang khayal-anda boleh melihat mereka kelihatan tidak normal.”

Bekli menyembunyikan pil di bawah lidahnya setiap hari, berpura-pura minum air, dan kemudian meludah pil itu.” Itulah bagaimana saya selamat.”

Kerana tekanan “melampau” di kem tahanan, ramai etnik Uyghur yang mahu membunuh diri, kata Bekli.

“Tetapi tidak ada cara untuk melakukannya, kerana lima hingga sepuluh orang sentiasa mengawal anda, dan terdapat kamera di dalam bilik.”

Respons Antarabangsa

Laporan tahunan CECC pada 2018, yang dikeluarkan pada 10 Oktober, menyatakan bahawa keadaan di Xinjiang “mungkin merupakan penahanan terbesar penduduk etnik minoriti sejak Perang Dunia II, dan ini mungkin merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.”

Dan semasa ucapannya pada 4 Oktober di Institut Hudson mengenai dasar Amerika Syarikat ke arah China, Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence berkata bahawa pengasingan besar-besaran etnik Uyghur adalah ‘gelombang penganiayaan baru’ yang merosakkan umat Islam Uyghur.

“Orang yang selamat dari kem [kerajaan] telah menggambarkan pengalaman mereka di kem-kem itu sebagai percubaan Beijing dengan sengaja untuk menghapuskan budaya Uyghur serta menghapuskan keyakinan umat Islam,” kata Pence.

Aydin Anwar, etnik Uyghur yang tinggal di Amerika Syarikat, memberitahu The Epoch Times bahawa beliau percaya fasiliti Xinjiang adalah satu cara untuk ‘menyembunyikan pemusnahan besar Uyghur’.

Bequelin Amnesty berkata PKC perlu dipertanggungjawabkan oleh kerajaan di seluruh dunia untuk ‘tindakan kejam yang dilakukan terhadap etnik minoriti’ dan ‘mimpi buruk’ di Xinjiang.

“Beratus-ratus ribu keluarga telah terbelah oleh tindakan kejam PKC. Mereka terdesak untuk mengetahui apa yang telah berlaku kepada orang yang tersayang dan sudah tiba masanya pihak berkuasa China memberi mereka jawapan.”

Sumber: The Epoch Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular

Ad will display in 09 seconds