China menentang dengan tegas keputusan Malaysia untuk membebaskan 11 umat Islam etnik Uighur dari tahanan dan menghantar mereka ke Turki, tanpa menghiraukan permintaan China untuk menyerahkan mereka ke Beijing, lapor Reuters pada 12 Oktober yang lalu.

Kredit: Mohd Yusni Ariffin/NSTP

China dilaporkan sedang dalam proses untuk mengesahkan perincian dengan Malaysia dan berharap negara Asia Tenggara “akan memberi perhatian besar” kepada kebimbangannya, memetik kenyataan Menteri Luar Negeri China dalam satu kenyataan faks.

“Mereka adalah rakyat Negara China dan kami dengan tegas menentang keputusan mereka dihantar pulang ke negara ketiga,” katanya.

Pendakwa raya di Malaysia membebaskan 11 orang tersebut atas dasar kemanusiaan dan mereka tiba di Turki selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada hari Selasa lalu, kata peguam mereka, Fahmi Moin, pada hari Khamis.

Etnik Uighur yang berada di Malaysia adalah sebahagian daripada lebih 200 orang yang ditahan di Thailand pada tahun 2014.

Walaupun mereka mengenal pasti diri mereka sebagai warganegara Turki dan minta dihantar ke Turki, namun lebih daripada 100 orang secara paksa telah dihantar kembali ke China pada bulan Julai 2015, yang seterusnya telah mencetuskan kecaman antarabangsa.

Etnik Uighur ditahan dan didakwa kerana secara tidak sah memasuki Malaysia selepas melarikan diri dari penjara Thailand pada bulan November lalu dengan menebuk lubang di dinding penjara dan menggunakan selimut sebagai tangga.

Kredit: Wetinhappen

Langkah berani yang diambil oleh Malaysia berkenaan keputusan ini mungkin akan menggugat hubungan Malaysia-China, yang kian diuji sejak kerajaan Malaysia bertukar kepada tampuk pimpinan baharu. Sebelum ini, Malaysia juga telah membatalkan projek yang melibatkan nilai jutaan ringgit dengan syarikat dari negara China.

Pada bulan Februari lalu, Reuters melaporkan bahawa Malaysia berada dalam tekanan hebat dari China untuk mengusir etnik Uighur berkenaan. Beberapa misi dari Barat cuba menghalang penghantaran etnik ini ke China kerana bimbang akan dianiaya oleh kerajaan itu.

China telah dituduh melakukan pelanggaran hak di Xinjiang, penyeksaan tahanan Uighur dan kawalan ketat terhadap agama dan budaya mereka. Namun, mereka menafikan hal itu.

Februari lalu, Malaysia menyatakan bahawa permintaan China untuk mengekstadisi 11 lelaki itu sedang dipertimbangkan. Sebelum itu, beberapa orang tahanan etnik Uighur telah pun dihantar ke China.

Kredit: Free Malaysia Today

Terdahulu, Malaysia mempunyai hubungan yang rapat dengan negara China di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tetapi bagi Perdana Menteri terkini, Tun Dr. Mahathir, 93, beliau bersuara lantang dan tegas dalam menyokong masyarakat Islam menentang penganiayaan.

Dalam kenyataannya pada hari Jumaat, Menteri Luar Negeri China berkata bahawa hal yang dilakukan ini adalah menentang imigresen haram dalam apa jua bentuk. – Reuters

Sumber: ReutersWetinhappenMohd Yusni Ariffin/NSTP

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Kebenaran NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds