Perbuatan membuli di sekolah boleh datang dalam pelbagai cara, tambahan apabila ada pelajar melihat pelajar lain yang kotor dan comot datang ke sekolah tanpa membersihkan diri. Mereka pasti akan menjadi bahan cacian dan bulian daripada pelajar nakal. Seorang pengetua di New Jersey, Amerika Syarikat yang mengalami situasi tersebut telah mengambil satu tindakan yang unik sehingga dapat menghentikan perbuatan membuli pelajar gelandangan.

Kredit : CNN / Facebook

Pengetua Sekolah Tinggi West Side, New Jersey, Akhbar Cook menyedari terdapat beberapa orang pelajarnya yang tidak mempunyai pakaian bersih apabila datang ke sekolah. Mereka menjadi bahan mudah kepada ejekan dan buli di sekolah sehingga masalah ini menyumbang kepada ketidakhadiran para pelajarnya ke sekolah sebanyak 85 peratus.

Pengetua Akhbar berkongsi kisah dua tahun yang lalu apabila seorang pengawai keselamatan ingin memeriksa beg sekolah para pelajarnya bagi tujuan keselamatan. Terdapat seorang remaja perempuan yang menjerit dan bergaduh kerana enggan membuka beg sekolahnya.

Kredit : Akhbar Cook / Facebook

Kata Pengetua Akhbar Cook, “Polis yang memeriksa beg remaja itu kemudian memberitahu saya pelajar itu enggan memberi kebenaran supaya begnya dibuka kerana malu terdapat baju kotor yang belum dibasuh di dalam beg itu, dan berkeras tidak mahu sesiapa tahu mengenainya.”

Katanya lagi, “Pelajar ini budak yang baik, dan datang ke sekolah kerana ingin menuntut ilmu. Tetapi pelajar ini pasti tidak hadir dalam tiga hingga lima hari sebulan akibat dibuli oleh rakan yang mengejek mereka kotor dan busuk.”

“Saya telah menukar arahan supaya uniform sekolah berwarna gelap supaya mereka tidak perlu menukarnya setiap hari, tetapi itu bermakna mereka ini masih berada dalam keadaan tidak cukup bersih ketika datang ke sekolah.”

Kredit : Catresa McGhee / Facebook

Jadi, dua tahun yang lalu, Akhbar Cook memohon geran sebanyak RM83,120 dari Yayasan PSEG untuk membina dan menyediakan satu pusat dobi sekolah secara percuma yang ditempatkan bilik loker lama sekolah itu.

Sekolah itu kini memiliki lima buah mesin membasuh pakaian komersial dan lima buah mesin pengering pakaian. Perkara ini telah dihebahkan kepada masyarakat setempat yang ingin menghulurkan bantuan membeli sabun pencuci dan pelembut pakaian. Operasi yang dinamakan “Rasa bersih” ini telah mendapat simpati dan derma orang ramai bagi membantu para pelajar gelandangan di sekolah tersebut.

Kredit : Catresa McGhee / Facebook

Pembantu operasi sekolah bernama Nicole Daniel berkata, “Apabila kisah ini menjadi tular, pihak kami menerima bantuan yang sungguh menggalakkan apabila ramai yang menghantar sabun dan lain-lain keperluan mencuci pakaian.”

Nicole berkata, “Banyak kali sebelum ini, pelajar-pelajar ini datang ke sekolah dengan perasaan malu, mereka datang dalam keadaan berlainan, ramai yang merungut tentang bau badan mereka. Saya katakan kepada mereka, jadi cucilah dengan sabun dan air. Tetapi kini, mereka tidak perlu mengikut cara lama kerana mereka boleh pergi ke bilik dobi sekolah untuk membasuh dan mengering pakaian mereka dengan bersih.”

Kredit : Catresa McGhee / Facebook

Pengetua Akhbar Cook berkata, “Kami cuba untuk mengajar para pelajar ini supaya menghilangkan rasa malu mereka kerana menjadi gelandangan. Mereka sedang bertarung dalam kehidupan dan perlu berusaha menjadi lebih baik, dan mereka patut berasa bangga jika berjaya mengharungi pertarungan ini.”

Akhbar Cook menambah, “Mengajar para pelajar ini tentang nilai dan makna kehidupan juga penting. Adalah penting memberi kembali maruah diri kepada para pelajar gelandangan ini. Ia satu proses yang panjang dalam membentuk mereka menjadi golongan masyarakat yang lebih baik dan berguna pada masa hadapan.”

Lihat video di bawah.

Kredit : CNN / Facebook

Sumber : CNN/ FacebookNTD

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds