Kita semua sedia maklum akan manusia pertama yang menjejakkan kaki ke Bulan iaitu Neil Armstrong pada tanggal 20 Julai 1969. Neil merupakan angkawasan pertama yang berjaya mendaratkan kaki kirinya sekali gus meninggalkan kesan tapak kaki manusia pertama di permukaan Bulan!

Namun begitu, baru-baru ini timbul satu teori konspirasi baharu oleh pihak tertentu yang berpendapat bahawa fakta yang selama ini disogokkan kepada setiap individu adalah salah dan tidak tepat.

Sebagai bukti bagi mengukuhkan lagi dakwaan ini, pihak berkenaan telah melakukan perbandingan pada gambar pakaian angkasawan Apollo 11 yang dipakai oleh Neil Armstrong dan juga gambar sebenar semasa misi menjejaki Bulan itu diambil.

Tidak banyak perbezaan yang boleh dikenalpasti memandangkan Neil Armstrong dan ahli kru lain terbukti memakai pakaian angkawasan Apollo/Skylab A7L seperti gambar yang diambil pada tahun 2015 oleh ahli astronomi, Phil Plait di Muzium Udara dan Angkasa Kebangsaan Smithsonian.

Bagaimanapun terdapat satu perbezaan ketara di mana ketiadaan kasut tambahan dengan tapak berjalur seperti yang boleh dilihat dengan jelas pada kesan tapak kaki di bulan itu!

Kasut tambahan ini dikatakan berfungsi untuk memberikan perlindungan berganda daripada sebarang kerosakan, kesan koyak dan juga debu kepada lapisan pelindung asas pada pakaian angkasawan.

Kredit: NASA photo

Namun jika anda perhatikan dengan teliti, gambar kelengkapan yang digunakan oleh angkawasan pertama itu dengan kesan tapak kasut di permukaan bulan benar-benar berbeza!

Apa yang membuatkan ramai pihak menjadi semakin skeptikal dengan kenyataan yang selama ini kabur adalah apabila NASA sendiri menyatakan bahawa tapak kaki tersebut sebenarnya bukanlah milik Neil Armstrong tetapi milik Buzz Aldrin.

Kredit: o0Tektite0o

Jadi, mengapa kasut tambahan yang mempunyai tapak berjalur seperti yang dipakai oleh Armstrong tidak dipamerkan di muzium? Apakah agenda di sebalik segala yang berlaku pada 49 tahun yang lalu?

Akan tetapi, NASA ada jawapannya…

Menurut NASA, kesemua kru Apollo 11 yang melakukan pendaratan di Bulan terpaksa meninggalkan kira-kira 100 item termasuk lensa TV, cecair badan dan juga kasut angkawasan milik Neil Armstrong sebagai langkah pengurangan berat.

Disebabkan itulah, anda menemui perbezaan pada tapak kasut di Bulan dan juga ketiadaan kelengkapan kasut tambahan yang dipamerkan di muzium.

Di sini jelas bahawa terdapat dua kesalahan dalam teori konspirasi yang cuba ditimbulkan oleh pihak berkenaan. Pertama, tapak kasut yang kekal di Bulan itu sebenarnya adalah kepunyaan Buzz Aldrin. Kedua, mereka tidak tahu akan fakta bahawa kasut tambahan dengan tapak berjalur itu telah ditinggalkan di Bulan bersama dengan beberapa item lain.

“Tapak kaki pertama di Bulan akan kekal selama berjuta-juta tahun. Tiada angin di Bulan yang akan menghilangkan kesan tapak kaki itu.”

Jadi, jika masih ada pihak yang meragui kenyataan ini, silalah buat perjalanan ke Bulan untuk melihat sendiri bukti kesan tapak kasut yang telah ditinggalkan di sana.

Sumber: Bored Panda

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds