PETALING JAYA – Proses penggalian semula kubur Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan sedang dijalankan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, pada 8 Oktober, bermula jam 8.30 pagi, bagi tujuan bedah siasat kali kedua.

Penggalian semula kubur Nazrin Hassan dijalankan atas permintaan abang kandung Nazrin, Dr. Malik Hassan, agar bedah siasat kali kedua dapat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Dr. Malek membuat permohonan tersebut kepada mahkamah pada 24 September yang lalu selepas beliau mengesyaki penemuan bedah siasat kali pertama yang dikeluarkan oleh Hospital Kuala Lumpur adalah salah.

Kredit : Suriya Bonma / Utusan Online

Pada 1 Oktober, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan proses penggalian semula kubur CEO Cradle Fund ini bagi tujuan bedah siasat kali kedua.

Prosedur penggalian semula kubur tersebut dijalankan menurut peruntukan di bawah Seksyen 336 Kanun Prosedur Jenayah.

Kredit : Astro Awani

Pihak polis masih menutup laluan masuk utama ke kawasan tanah pekuburan bagi membolehkan kerja-kerja penggalian berjalan dengan lancar. Pihak Jabatan Forensik dan Patalogi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilihat mula memasuki kawasan perkuburan sejak jam 8.30 pagi.

Turut kelihatan ialah pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor. Peguam LS Leonard yang mewakili isteri Nazrin, Samirah Muzzafar juga dilihat tiba pada kira-kira jam 9.30 pagi bagi menyaksikan kerja-kerja penggalian semula kubur Allahyarham.

Kredit : Sun Daily

Pada 14 Jun yang lalu, Nazrin ditemui meninggal dunia di rumahnya di Mutiara Damansara dipercayai berpunca daripada letupan dan kebakaran telefon pintar miliknya. Bagaimanapun siasatan susulan yang dibuat mendapati wujud unsur mencurigakan dalam kematian Nazrin sehingga kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.

Berikutan perkembangan terbaru kes tersebut, pihak polis telah menahan reman isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, bekas suaminya, Nizam Mydin dan dua anak tiri Nazrin bagi membantu siasatan. Kesemuanya telah dibebaskan dengan jaminan bagi membolehkan siasatan lanjut.

Kredit :   Nazrin Hassan/Facebook

Dalam perkembangan berkaitan, isteri Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan pada kira-kira jam 10 pagi, 8 Oktober bagi menangguhkan proses penggalian semula kubur suaminya.

Bagaimanapun keputusan sebulat suara panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohtarudin Baki telah menolak permohonan tersebut, dan membenarkan penggalian semula kubur tersebut yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi Petaling Jaya supaya diteruskan. Kebenaran menjalankan bedah siasat kali kedua telah bermula pada 8 Oktober.

Sumber : Berita Harian , Utusan Online, The Star, Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds